Datuk bangga cucu kesayangan masuk IPT, tulis tarikh register di meja… Sempat bagi duit belanja lebih sebelum mninggal

Kehilangan ‘tulang belakang’ yang sentiasa menjadi pendorong dalam kehidupan pasti meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa sahaja.

Apatah lagi insan tersayang itu sanggup berkorban demi memastikan kita dapat menjalani kehidupan bahagia tanpa sedikit pun rasa kekurangan.

Berdepan situasi sama, seorang wanita tampil berkongsi kenangan manis bersama figura kesayangannya di laman sosial sehingga meruntun hati warga maya.

Berkongsi cerita, Sri Syakilah atau mesra disapa Kela berkata, dia dibesarkan oleh datuk dan nenek di kampung sejak usianya lapan tahun.

“Saya merupakan satu-satunya cucu yang tinggal bersama atuk dan nenek selepas mak berkahwin baharu… masa tu usia saya baru lapan tahun.

“Tinggal bersama mereka adalah pilihan saya sendiri dan mereka juga menerima dengan hati yang terbuka,” luahnya memulakan cerita.

Seperti ibu bapa yang lain, datuknya juga meluahkan hasrat untuk melihat dia melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Malah kata anak kelahiran Kota Tinggi Johor ini, selepas menerima tawaran kemasukan ke universiti, datuknya adalah individu paling gembira sehingga tarikh pendaftaran tersebut dicatat di meja solek milik warga emas tersebut ‘Kela 22112014’.

“Atuk paling bangga masa tu, terus dia start motor cari orang yang boleh hantar saya ke UiTM (Universiti Teknologi Mara) Perlis sebab kami semua dari Johor.

“Banyak kali atuk tanya macam mana nak balik kalau terjadi apa-apa pada dia… dan itu antara persoalannya setiap hari sehinggalah saya menjejakkan kaki ke universiti.

“Selepas mendaftar, atuk menangis dan itu pertama kali saya nampak dia menangis,” luahnya sayu.

Mengimbau kembali memori pada November 2014 itu, Kela berkata segala perbelanjaan awal untuk mengikuti pengajian Diploma Teknologi Polymer di universiti tersebut telah ditanggung sepenuhnya oleh datuknya.

Bukan itu sahaja, dia juga sering diberikan duit belanja setiap bulan kerana masih belum mendapat pinjaman kewangan daripada mana-mana institusi berkaitan.

“Masa tu memang atuk tanggung semuanya, mak pun sama. Tak sangka atuk simpan duit dari dulu lagi untuk saya… patutlah atuk kedekut, rupanya menyimpan.

“Setiap bulan tak pernah miss bagi duit sebab tak buat pinjaman apa-apa lagi masa tu. Saya hantar gambar pakai lab coat, kemudian atuk call lagi dan cakap kakak macam doktor la,

tapi dia bangga sebab saya cucu pertama yang masuk universiti dan cucu yang dia jaga dari kecil.

“Setiap minggu dia akan call tanya ada duit lagi tak sampai la satu masa… atuk call cakap nak bagi banyak sikit. RM700 terus atuk masukkan sedangkan bulan tu setiap minggu atuk masukkan duit,”

kata Kela yang tidak menerima panggilan daripada datuknya selepas transaksi terakhir itu.

Bimbang dan pelik dengan situasi tersebut, dia kemudiannya menghubungi nenek bagi mendapatkan kepastian.

Namun wanita tua itu tidak menceritakan perihal yang berlaku di kampung kerana khuatir berita datuknya sakit akan mengganggu konsentrasi ketika peperiksaan akhir semester.

“Rupanya atuk dah tenat dan sebelum ditidurkan dia tanya dengan paksu Kela dapat balik tak? Nak jumpa dia. Sejurus dapat tahu, saya terus balik naik kapal terbang sebab tahu atuk akan ditidurkan.

“Tapi setibanya di Johor, atuk dah ditidurkan dan dipindahkan ke unit rawatan rapi. Paling tak dapat dilupakan, air mata atuk mengalir selepas dengar suara saya,” imbaunya lagi sambil mengenangkan detik terakhir pertemuannya dengan arwah itu.

Tambah Kela, datuknya mninggal pada Februari 2015 iaitu tiga bulan selepas dia menyambung pengajian di Perlis manakala neneknya meninggal pada Disember 2018.

Sumber:Mstar