Tiba-Tiba Ular Sawa Muncul Dari Bonet , Menjalar Depan Cermin . Suami Isteri Cuba Bertenang , 15 Minit Cari Balai Bomba.
Begitulah situasi penuh mendebarkan yang berlaku di sepanjang lebuh raya, gara-gara seekor ular sawa muncul dari bonet kereta.
Namun menerusi video yang tular di media sosi4l, dapat dilihat pemandu dan penumpang kereta itu kekal tenang sementara mereka meneruskan pemanduan ke balai bomba bagi mendapatkan bantuan.
Keadaan seekor ular sawa melingkar di hadapan dan tepi kereta yang dipandu Aiman.
Berkongsi cerita, Muhammad Aiman Muhammad Rushdi berkata, kejadian berlaku pada Ahad lalu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Salak Tinggi di Sepang, Selangor selepas makan malam bersama ibu bapa mentua, di Seri Kembangan di Serdang.
Namun ketika dalam perjalanan melalui Putrajaya, dia yang mesra disapa Aiman menyedari seperti sesuatu sedang bergerak di hadapan bonet kereta yang dipandunya.
“Masa tu ingatkan ranting pokok, tiba-tiba hilang. Kemudian ia muncul balik dan ketika itu tepat-tepat naik atas bonet kereta.
“Memang terkejut apabila tengok seekor ular sawa yang keluar dari bahagian depan. Tapi saya cuba untuk bertenang kerana sedang memandu,” katanya ketika dihubungi mStar.
Lelaki berusia 30 tahun itu berkata, turut sama di dalam kereta ketika kejadian adalah isterinya, Azidah Solehah Zuhelmi, 28 dan anak lelaki berusia setahun dan lapan bulan.
Jelasnya, dia memperlahankan pemanduan selepas melihat kemunculan ular ketika dalam perjalanan ke Balai Bomba Cyberjaya sambil menambah turut berselawat dan bertawakal.
“Mulanya saya ingat ular tu tak panjang dan mungkin anak ular. Sekali ia menjalar atas cermin kereta dan saya terkejut sebab panjang sangat. Macam dalam filem.
“Saya bertawakal, ingat Allah sebab kalau panik nanti macam-macam perkara yang tidak diingini boleh terjadi, dan mungkin membahayakan pengguna jalan raya lain,” ujar Aiman.
Anggota bomba menangkap ular sawa sepanjang 1.5 meter.
Menurut anak kelahiran Perak itu, perjalanan ke balai bomba mengambil masa kira-kira 15 minit berikutan dia memandu perlahan.
“Masa tu memang ada rasa takut sikit, terbayang kalau ular tu masuk ke dalam kereta melalui lubang-lubang yang ada. Saya sebenarnya geli dengan ular.
“Isteri pula sebaliknya, dia tak takut dan pernah pegang ular di zoo. Isteri pula memainkan peranan untuk tidak panik, jadi keadaan lebih terkawal.
“Alhamdulillah, isteri seorang yang tenang dan berani dalam menghadapi situasi-situasi yang cemas. Bukan sekadar tenang dan berani, tetapi isteri saya juga taat, sweet dan ibu yang penyayang,” katanya.
Ujar polis bantuan itu lagi, setibanya di balai bomba, anggota hanya mengambil masa kurang lima minit untuk menangkap seekor ular sawa sepanjang kira-kira 1.5 meter daripada keretanya.
Mengakui pertama kali berdepan situasi seperti itu, Aiman bagaimanapun menyifatkan ia sebagai pengalaman berharga dan kenangan yang tidak boleh dilupakan.
“Ketika situasi itu berlaku, kami betul-betul berharap dengan Allah. Kalau anda mengalami situasi macam saya, jangan panik kerana panik hanya akan memburukkan lagi keadaan seperti terbabas atau terlanggar kenderaan lain.
“Pada masa sama, kita kena fikir ular tu pun makhluk Allah, jadi seboleh-bolehnya kita cuba bantu menyelamatkan. Tapi kalau terjumpa ular dalam kereta, jangan pula terus pandu.
“Selepas kejadian itu, saya tak serik tetapi saya akan melakukan pemeriksaan pada kereta terlebih dahulu sebelum memandu,” katanya lagi.
Sumber:mstar