Terkejut Bapa PJJ Tiba-Tiba Muncul Depan Kelas . Bangga Dengan Babah Anak Perempuan Sarung Uniform Pemandu Peribadi

Hanya linangan air mata dapat menggambarkan perasaan lelaki ini tatkala mengetahui anak kesayangan begitu berbangga dengan pekerjaannya sebagai seorang pemandu peribadi.

Lebih sebak apabila si anak tanpa segan silu menyarung uniform bagi menggambarkan pekerjaan bapanya itu.

“Terima kasih kerana berbangga dengan babah (ayah). Babah cuma menumpang rezeki kakak (anak),” tulis si bapa menerusi video yang tular di media sosial.

Menerusi rakaman berkenaan, si bapa yang rupa-rupanya tinggal berjauhan (PJJ) dengan keluarga hadir ke sekolah anaknya bagi membuat kejutan sempena majlis sambutan Hari Kanak-Kanak (bertemakan kerjaya), baru-baru ini.

Mesra disapa Roy, dia menjelaskan pemilihan pakaian seragam bertemakan pekerjaannya sebagai pemandu itu adalah idea daripada anaknya sendiri yang berusia sembilan tahun.

Pada masa sama, lelaki berusia 48 tahun itu turut mendedahkan kejutan yang dibuat pada 24 November lalu itu merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke sekolah anaknya.

“Saya bekerja sebagai pemandu peribadi di Kuala Lumpur, manakala keluarga di Hulu Bernam di Hulu Selangor, Selangor.

“Kerana tuntutan dan kesibukan kerja, jadi saya PJJ dengan keluarga. Semua urusan persekolahan anak diuruskan oleh isteri dan saya cari nafkah untuk mereka.

“Jangan kata tak dapat pergi ke sekolah, saya balik ke rumah pun hanya pada setiap hujung minggu,” katanya .

Menurut Roy yang kini menjadi pemandu peribadi selama 10 tahun, dia mengakui sedih dan terkilan setiap kali anak sulungnya daripada dua beradik itu memintanya supaya hadir ke sekolah.

“Sejak anak saya lahir kalau tak ada urusan rasmi, memang saya hanya akan pulang ke rumah apabila hujung minggu dan cuti umum.

“Anak pernah minta saya hadir ke sekolah terutama ada ujian atau sign report card, tapi saya sibuk dan isteri yang merupakan suri rumah yang pergi. Memang sedih, tapi sudah tanggungjawab saya untuk cari rezeki,” ujarnya yang berasal dari Sabak Bernam.

Bagaimanapun, sambutan Hari Kanak-Kanak yang diadakan di sekolah anaknya telah membuatkan hatinya terdetik untuk hadir ke sekolah buat julung kali.

“Saya tergerak hati nak jumpa anak saya. Majlis dibuat pada hari Jumaat dan kebiasaannya hari saya bekerja. Tapi saya mohon cuti daripada majikan untuk hari istimewa ini.

“Selama ini saya beri kasih sayang di rumah dan di luar sekolah. Jadi saya mahu tunjukkan kasih sayang pada anak di sekolah pula. Itulah kali pertama saya hadir ke sekolah anak,” ujarnya sebak.

Pada hari berkenaan, Roy mengakui amat tersentuh melihat anak perempuannya memakai pakaian seragam pemandu seperti mana yang sering dipakainya ketiga bertugas.

“Ikutkan hati memang saya nak menangis, tapi saya tahan juga. Hanya lihat anak menangis dan saya mahu beri semangat kepada dia. Tapi apabila tinggal berjauhan dan keseorangan, memang saya menangis teringatkan isteri dan anak-anak.

“Saya bersyukur anak terima pekerjaan ayahnya sebagai pemandu. Pesan saya pada anak supaya belajar bersungguh-sungguh dan sentiasa hormat orang tua,” katanya lagi.

Sumber:Mstar