Tak Sia-Sia Jual Motor Demi Sokong Harimau Malaya Di Qatar .Tiba Di Malaysia Terus Terima Kejutan Hadiah Motor Skuter

Penyokong Harimau Malaya yang sanggup menjual motosikalnya demi menyaksikan perjuangan skuad negara di Doha, Qatar dalam saingan Piala Asia 2023, pulang ke tanah air dengan kejutan tidak disangka-sangka.

Pemuda yang dikenali sebagai Derrick Gan itu menerima hadiah sebuah motosikal baharu daripada Modenas, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

“Derrick, teruskan sokong dan jadi pemain ke-12 pasukan Harimau Malaya! Selamanya Harimau Malaya!” menurut hantaran Radio Era yang dikongsi oleh Fb Modenas pada Ahad.

Derrick menerima hadiah sebuah motor skuter Modenas Karisma bernilai RM5,400 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Esekutif Modenas, Roslan Roskan.

Terdahulu, Derrick menjadi tumpuan ramai kerana sanggup membuat peng0rbanan besar untuk menyaksikan perjuangan skuad negara di Doha, Qatar dalam saingan Piala Asia 2023.

Lebih meninggalkan memori indah ialah aksi Derrick yang berambut perang menjerit sambil menangis kegembiraan di Stadium Al Janoub pada Khamis malam sempat dirakam menerusi siaran langsung hingga mencuri tumpuan seluruh dunia.

Detik bersejarah Harimau Malaya berjaya mengikat gergasi Asia, Korea Selatan dengan jaringan tiga sama dilihat cukup bermakna buat Derrick dan rakyat Malaysia.

Menariknya, demi menampung kos perjalanan ke Doha, Derrick dikatakan sanggup menjual motosikal Yamaha jenis LC5 Speed dengan harga permulaan RM4,500.

Melalui satu hantaran di Fb, Derrick berkata ia adalah motosikal kesayangan adiknya tetapi sanggup dilepaskan kerana mahu memenuhi impian untuk melihat dengan mata sendiri pasukan negara bermain di Piala Asia 2023.

“Mencari dana ke Qatar! Malaysia Road to Asia! Tumpang lalu adik nak lepaskan motosikal demi negara tercinta. Kejohanan terbesar dalam sejarah Malaysia!

“Ada sesiapa sudi tolong tak? Apa-apa roger saja,” tulis Derrick menerusi satu hantaran di Fb bertarikh 28 Disember tahun lalu.

Dalam perlawanan penuh dramatik pada Khamis, Derrick bersama adiknya dan jutaan penyokong Malaysia yang lain terlopong selepas skuad kebangsaan menyajikan prestasi cemerlang walaupun sudah sah tersingkir.

Malaysia menduduki tangga tercorot dalam kumpulan E dengan hanya satu mata selepas tewas berturut-turut di tangan Jordan dan Bahrain sebelum bertemu Korea Selatan.

Sumber:Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *