Baki hut4ng lama RM80 belum bayar, wanita asnaf tak sangka dapat pula duit belanja bulan puasa… Terharu layanan cikgu hati mulia

Ketika ramai semakin teruja untuk pulang ke kampung berhari raya, masih ada keluarga yang tetap berjuang demi kelangsungan hidup.

Disebabkan kesempitan wang, seorang wanita tanpa segan silu untuk berterus terang kepada personaliti media sosi4l, Mohd Fadli Salleh yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli kerana tidak mampu melangsaikan baki hutang yang dipinjamnya.

“Salam Cikgu Fadli, cikgu dah balik kampung ke? Lagi empat hari nak raya. Saya nak minta maaf banyak-banyak dekat cikgu… saya tahu banyak salah dekat cikgu. Saya ada hutang lagi dekat cikgu, kalau tak silap lagi RM80.

“Saya janji nak bayar, tapi banyak bulan dah saya skip. Saya rasa bersalah sangat dekat cikgu. Saya minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki,” ujar wanita itu menerusi mesej di aplikasi WhatsApp.

Walaupun sering lewat membayar hutang dan belum dilangsaikan sepenuhnya, namun katanya bekas guru itu tetap memberikan wang kepadanya untuk perbelanjaan di bulan puasa.

Katanya, dengan wang yang diberikan ia dapat digunakannya untuk menyara anak-anak yang sudah bersekolah.

Berkongsi tangkap layar mesej berkenaan di Facebook, Cikgu Fadli menjelaskan bahawa wanita berkenaan merupakan asnaf dan ibu tunggal kepada dua anak.

Walaupun berhutang, namun katanya, wanita itu yang juga orang kurang upaya (OKU) tidak pernah melupakan tanggungjawabnya itu.

“Apabila duit zakat masuk, dia bayar kadang RM10. Kadang RM20. Kadang tak mampu nak bayar lagi. Namun dia sentiasa ingat.

“Paling penting, dia catat hutang dia. Dia sentiasa ingat. Cuma ada bulan dia perlu guna untuk keperluan lebih penting, jadi tak mampu nak bayar bulan tu. Tapi dia sentiasa teringat ada hutang, sentiasa sebut. Padahal dia asnaf,” katanya.

Di sebalik kisah wanita asnaf itu, kata Cikgu Fadli, ada juga segelintir peminjam hanya tahu menyusahkan pemberi hutang berbanding berusaha untuk melangsaikannya.

Menurutnya, kebanyakan mereka bukan dalam kalangan asnaf tetapi sering lupa hutang dan tiada usaha untuk membayar balik.

“Ada orang, bukan asnaf pun. Tapi hutang buat-buat tak ingat. Mungkin dia harap orang lupa dengan sendirinya.

“Jumlah hutang sampai beribu, langsung tak ada usaha nak selesaikan. Bertahun tak berganjak pun. Padahal kalau bayar RM50 sebulan pun dah selesai lama dah,” ujarnya.

Dia sentiasa teringat ada hutang, sentiasa sebut… padahal dia asnaf.
Apa yang lebih dikesalkan adalah segelintir mereka yang liat membayar hutang ini mengamalkan kehidupan mewah.

“Makan restoran mahal, melancong sana sini. Tukar kereta baharu, tukar telefon lain. Tapi hutang buat-buat lupa.

“Tak kisah pun anda beli baju raya baharu walau masih ada hutang. Tapi berpadalah. Ini yang beri hutang beli baju raya harga RM80, yang berhutang beli harga RM200,” katanya.

Menurut Cikgu Fadli lagi, perkara itu belum mengambil kira kehidupan si pemberi hutang dan peminjam yang jelas terbalik.

“Yang beri hutang kerja sampai pukul 3 hingga 4 pagi cari rezeki… yang berhutang senang-lenang layan FB. Yang beri hutang hidup struggle, yang berhutang lepak kedai mamak saban malam.

“Yang beri hutang membanting tulang, yang berhutang melepak bergelak ketawa macam jutawan. Apabila tanya pasal hutang, alasan tak ada duit lagi. Masa ada duit, bermewah. Ada masa lapang, duduk saja. Bukan usaha,” katanya.

“Malulah pada asnaf ni. Taraf asnaf, OKU lagi, ibu tunggal pula tu. Kereta tiada, motor tak ada. Namun sentiasa ingat pada hutang, sentiasa rasa bersalah apabila terkenang.

“Ada hutang, catatlah. Ada masa lapang, kerjalah apa saja untuk tambah pendapatan. Ada duit lebih, bayarlah ansur-ansur hutang kawan tu.

“Orang beri kita hutang, kerana dia fikir kita kawan. Kerana dia percaya pada kita. Kadang apa yang dia hulur tu merupakan simpanan terakhir mereka. Duit kecemasan mereka sanggup dia korbankan nak bantu kita,” katanya.

Sumber:Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *