Syahdu Syawal Ke 2 , Tiga Beranak Naik Satu Motosikal Redah Lebih 120km Nak Ke Melaka , Siap Ada Tongkat Disangkut Sebelah Kiri
Dalam keseronokan kita pulang ke kampung berhari raya, ingatlah ada keluarga yang bersusah-payah untuk menyambut Aidilfitri.
Menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial, seorang lelaki dilihat menunggang motosikal di sebuah lebuh raya sambil dibonceng wanita.
Turut kelihatan seorang kanak-kanak kecil duduk di bakul hadapan kenderaan dua roda itu.
Lebih menyayat hati apabila penunggang yang hanya memakai selipar itu turut dilihat memegang sebatang tongkat di sebelah kirinya sambil cuba mengimbangi motosikal yang ditunggangnya.
Kebiasaannya, tongkat jenis itu digunakan oleh mereka yang mengalami kecederaan, sakit atau tidak mempunyai keupayaan untuk berjalan secara normal.
Keadaan tiga beranak itu ternyata mengundang sebak salah seorang pengguna lebuh raya yang menyaksikan kejadian itu di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
“Rasa sedih sebab kehidupan saya sendiri pun struggle. Jadi apabila tengok keadaan orang lain yang lebih struggle daripada kita, saya rasa sedih dan kena bantu semampu saya,” kata Abdul Mutalib Abdul Mubin kepada mStar.
Lebih dikenali sebagai Mutalib Mubin, ketika kejadian dia dalam perjalanan bersama isteri dari Kuala Lumpur ke rumah mentua di Batu Pahat, Johor pada pagi Khamis.
Menurutnya, ketika itu keadaan trafik agak perlahan di beberapa kawasan sehingga dia dan isteri terserempak dengan keluarga yang menaiki motosikal itu beberapa kali di laluan sama.
“Kami terserempak dua, tiga kali dekat lebuh raya dari Bangi sampai ke Senawang. Mereka tiga beranak, lelaki itu ada terselit tongkat di sebelah kiri. Di bahagian depan ada sangkut beg.
“Kali kedua saya nampak, saya rasa macam tak puas hati nak tahu pasal keluarga ini. Saya kemudian memperlahankan kereta untuk tunggu mereka lalu secara dekat.
“Mula-mula rancang nak tahan mereka di tepi lebuh raya, tapi risiko sebab banyak lori di belakang dan tengah jalan. Mereka pula tak masuk R&R (kawasan Rehat dan Rawat), mereka terus saja,” katanya.
Jelas pemuda berusia 33 tahun itu lagi, isterinya membuka tingkap kereta sebaik menghampiri keluarga itu dan menunjukkan sampul duit raya.
“Mereka perlahankan motor dan kami hulurkan sampul duit raya tu pada si ayah yang bawa motor. Dia senyum dan ucap terima kasih.
Saya berharap ada kereta yang lalu di sebelah keluarga ini pun tergerak hati untuk bantu.
“Saya fikir berapa jauh lagi dia nak pergi dalam keadaan macam tu? Pegang tongkat di sebelah kiri dan beg sangkut pada sebelah kanan motor. Anak kecil tu pun satu beg, dan si ibu sandang beg lagi.
“Perjalanan mereka ke Melaka berjarak sekurang-kurangnya lebih 120 kilometer (km) dalam keadaan motor dengan penuh barang dan sarat macam tu,” ujarnya.
Menurut Mutalib Mubin, atas dasar simpati dan prihatin, dia cuba membantu semampu yang boleh.
“Saya kasih dan sedih. Saya kena bantu dia. Bukan saya seorang yang kena bantu, tapi saya berharap ada kereta lain yang lalu di sebelah keluarga ini pun tergerak hati untuk membantu.
“Kita patut tolong orang yang susah. Bagi saya, apabila beraya, kita kena fikir orang di sekeliling… bukan sahaja keluarga tapi juga masyarakat. Kita patut utamakan mereka yang beraya bersendirian dan dalam kesusahan.
“Jika ada pemandu-pemandu lain terserempak dengan mereka dan hulur bantuan, saya percaya keluarga itu akan gembira, sedikit-sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.
Sumber:Mstar