Ini cerita pilu di sebalik penghijrahannya.Eleena Sui pilih untuk berhijab penuh, tekad mahu terus kekal istiqamah.
Namun, apabila terdapat konsistensi gambar beliau menutup aurat dilihat, penulis mengambil keputusan untuk bertanya sendiri kepada empunya badan.
Ketika dihubungi, rupa-rupanya Eleena berada di Dubai. Pun demikian, dirinya tiada masalah menyambut tawaran kami untuk menjadikannya sebagai penghias wajah SinarPlus yang pertama sempena bulan Ramadan.
Sebelum itu, mengambil keberkatan bulan puasa ini, kami mengharapkan simfoni cerita penghijrahan cinta Eleena kepada ALLAH SWT berupaya menyuntik inspirasi kita bersama.
Tidak lekang daripada menguntum senyuman, Eleena kelihatan anggun meski tampil ringkas dengan lilitan tudung yang sederhana.
Sebelum bertanya hal paling utama, penulis menyoal dulu dari mana asalnya nama beliau, sementelah dirinya bukanlah seorang mualaf.
ANAK KACUKAN MELAYU-CINA
Sambil tertawa besar sehingga memecah kesunyian bilik mekap Sinar Karangkraf, selebriti tinggi lampai itu meleraikan kisah.
“Sebelum bergelar pengacara dan berlakon, saya aktif dalam peragaan tudung dan pakaian Muslimah. Waktu itu, ada di antara rakan-rakan yang memuji dan memanggil saya dengan nama Eleena Sui.
“‘Sui‘ dalam bahasa Mandarin bermaksud cantik. Tak sangka pula, nama itu melekat dan saya terus gunakan ketika menyertai dunia seni,“ katanya merungkai tanda tanya.
Ujar pemilik nama lengkap Nor Eleena Hamzah itu, ramai yang tidak tahu bahawa ibunya ialah seorang mualaf. Jadi, secara tidak langsung, beliau ialah anak kacukan Melayu-Cina.
Rasanya, pendedahan itu sudah memadai. Maka, penulis terus memfokuskan kepada persoalan tentang penghijrahannya. Apa yang mengetuk pintu hati model yang juga bekas pengacara yang sinonim dengan program HLive itu?
Eleena yang juga anak kelahiran Kuala Lumpur nampak begitu tenang. Namun sebelum itu, tegasnya, naratif yang mahu dibutirkan bukanlah untuk mencipta kesombongan diri. Sebaliknya, mahu menyampaikan mesej bahawa setiap manusia boleh berubah dengan izin-NYA.
Sambil tangannya memegang erat pemegang kerusi, Eleena mengakui, pada asalnya perasaan waswas merantai hati. Beliau tiada kekuatan. Sulit untuk menghiraukan emosi berkenaan.
Himpunan perasaan tersebut semakin membuak-buak apabila melihat rakan-rakan artis yang ‘tewas di tengah jalan‘.
Justeru, beliau harus memikirkan sedalam-dalamnya. Jikalau iman goyah, semuanya tidak mendatangkan makna.
Baca ni ‘Sedar diri dan tahu kedudukan.’ 8 tahun berpoligami, Adira dedah rahsia hubungan baik dengan madu
Siapa pun tidak boleh menidakkan kuasa ALLAH. Hidayah itu milik-NYA.
Pada saat wabak kob1b menerjah dunia, segala-galanya menjadi malap. Namun, Eleena berada di kepompong berbeza.
“Kalau nak diikutkan panjang plotnya. Dipendekkan cerita, beberapa hari sebelum berhijab, saya bermimpi berada di hadapan Kaabah, padahal belum pernah pergi lagi ke sana sebelum itu.
“Saya macam ada masalah dan tengah bersedih. Tiba-tiba ada seorang hamba ALLAH sentuh bahu hingga membuatkan saya berpaling. Katanya: ‘ALLAH kan ada.‘ Saya terkesima.
Bagi saya, itu satu mimpi yang sangat indah dan asbab untuk saya menutup aurat,“ kongsi beliau.
Ketika menuturkan hal itu, air mata jernih daripada pelupuk matanya berderai. Penulis bersama jurumekap terkenal, Ayang Kamell terkedu seketika.
Kami membiarkan Eleena mengambil masa untuk mententeramkan diri. Namun, tidak lama selepas itu beliau bersuara.
“Sebenarnya, saya berbuat demikian lebih awal, cuma tidak menguar-uarkan. Saya juga tak muat naik foto saya berhijab,“ beritahu bintang Suri Hati Mr Pilot itu.
Sumber:HM