Suami sayang sangat Honda C70, sanggup ‘reject’ Ysuku… Rupanya ada agenda, simpan duit belikan isteri kereta Proton!
BERSEDERHANA dalam kehidupan itu lebih menenangkan jiwa malah ia merupakan amalan yang sangat dituntut oleh agama.
Begitulah yang cuba disampaikan wanita ini apabila memuat naik foto suaminya yang kelihatan tersenyum gembira menaiki motosikal lama jenis Honda C70 yang tular di Facebook.
“Inilah Mohd Syazwan (suami) yang saya sayang sangat tu. Dia ni pelik sikit. Berapa puluh kali dah pelawa (tawarkan) nak beli motor baharu tapi dia tak nak. Dia sayang sungguh dengan Honda petak dia tu.
Pasangan ini sudah berumah tangga selama 10 tahun.
“Dia cakap motor ni banyak berjasa… daripada dulu bawa merata cari rezeki untuk anak dan isteri,” tulisnya mengiringi perkongsian berkenaan.
Ketika dihubungi mStar, Fiqa Sahaq, 33, berkata perkongsiannya itu bertujuan untuk menghargai suaminya yang sentiasa bekerja keras selain suka berjimat demi kepentingan keluarga.
Terang Fiqa, suaminya cukup menyayangi motosikal lama itu yang dibeli sekitar enam tahun lalu.
“Saya ambil gambar tu minggu lepas. Saya terserempak dengan dia dekat tengah jalan.
“Masa tu saya naik kereta dalam perjalanan nak ke rumah mak. Suami pula bawa motor nak balik ke rumah dari kedai dia beli peralatan kerja,” imbasnya yang menetap di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah
Bercerita lanjut, Fiqa yang sudah 10 tahun berumah tangga berkata motosikal tersebut dibeli dengan wang simpanan suaminya yang bekerja sendiri.
Syazwan merupakan seorang bapa yang mengutamakan keluarga dalam apa jual perkara.
Tambah Fiqa yang berniaga koktel buah, dia pernah menawarkan untuk membelikan sebuah motosikal baharu namun hajatnya ditolak.
Sebaliknya, Syazwan membelikan sebuah kereta jenama Proton buat Fiqa dan anak-anak untuk kegunaan harian.
“Syazwan beli motor tu dengan duit gaji yang dia simpan sikit-sikit. Itulah motosikal pertama kami selepas berkahwin dulu.
“Motor tu hari-hari dia dia naik (tunggang) bawa pergi kerja. Hantar anak ke sekolah pun naik Honda itu juga.
“Sebelum ni pernah juga beritahu dia yang saya nak belikan motosikal baharu jenis Yamaha Ysuku (Y15) yang tengah popular masa tu tapi dia tak nak. Katanya dia nak pakai Honda petak ni je sebab boleh guna lagi,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai suaminya, Fiqa menjelaskan bahawa sikap Syazwan yang suka berjimat-cermat ini adalah disebabkan mereka pernah merasa kehidupan susah pada awal usia perkahwinan.
Berikutan hantaran yang dibuat itu, ibu kepada empat cahaya mata ini berkata mereka menerima pelbagai komen termasuk kritikan negatif.
Syazwan membeli sebuah kereta untuk kemudahan Fiqa dan anak-anak.
“Lepas viral posting tu, ada yang cakap suami saya kedekut. Sebenarnya bukan kedekut… tapi beringat. Kami bukan berasal daripada keluarga yang senang. Dulu pernah hidup susah sampai beli susu anak pun tak ada duit.
“Syazwan ni seorang yang utamakan keluarga. Melepak dengan kawan-kawan pun tidak. Habis kerja terus balik rumah. Ada masa dia tolong saya kemas rumah dan jaga anak-anak. Kalau jumpa orang dekat mana-mana mesti dia senyum dan tegur.
“Ada juga (perempuan) yang gigih cari nombor telefon suami sampai dapat. Mereka cakap suami saya ni satu dalam sejuta,” katanya lagi berseloroh.
Sumbar; Mstar