Suami Isteri Tidur Di R&R Nampak Gajah Lalu Tengah Malam , Trip Pusing Semenanjung Naik Motorhome Memang Luar Biasa .

Alangkah indahnya andai kita dapat menikmati percutian tanpa perlu risau untuk mencari tempat penginapan.

Sebaliknya kita boleh tidur di mana-mana lokasi sesuai dan selamat dalam kenderaan yang dinaiki.

Konsep ‘rumah bergerak’ atau dinamakan kenderaan rekreasi sudah tidak asing lagi di negara-negara Barat seperti Switzerland dan New Zealand.

Manakala di Malaysia pula, segelintir masyarakat dilihat sedang mula berjinak-jinak dengan gaya pelancongan yang versatil ini.

Antara mereka adalah Radin Danial, 32, yang merupakan seorang penyewa dan pengedar kenderaan rekreasi seperti ini.

Bercerita kepada mStar, Radin berkata dia dan isteri pernah merantau menggunakan kenderaan rekreasi miliknya ke 11 negeri di Semenanjung Malaysia.

“Saya datang daripada latar belakang tourism, pernah bekerja dengan Tourism Malaysia. Pada tahun 2015, saya buka agensi pelancongan sendiri.

“Selepas pandemik C0vid, pada tahun 2021, baru agensi saya ketengahkan percutian dalam motorhome (kenderaan rekreasi). Macam mana boleh tercetus idea ni, ia ada kaitan dengan hobi saya untuk keluar camping.

“Ada sekali tu waktu saya berkehemah, saya ditemukan dengan komuniti motorhome. Kami bertukar cerita dan mereka juga ada promote dekat saya. Daripada situ saya mula tertarik,” cerita Radin.

Menurut Radin, perkara yang paling menakjubkan ketika bercuti di dalam kenderaan rekreasi adalah penjimatan kos yang ketara berbanding pelancongan k0nvensional.

“Saya dengan isteri memang kerap keluar bersiar-siar apabila ada motorhome ni, sampai ke Thailand pun pernah. Kami pernah ambil masa 10 hari untuk pusing satu semenanjung guna motorhome.

“Selama 10 hari kami bercuti tu, kami hanya keluarkan perbelanjaan sebanyak RM902. Sangat jimat. Sebab dalam motorhome kami ni ada semua kelengkapan, seperti dapur, peti sejuk, katil, mesin basuh, televisyen dan tandas.

“Kami boleh beli barang mentah daripada pasaraya dan masak dalam kereta. Hotel pun tak perlu cari, sebab kami tidur je dalam motorhome. Kami hanya perlu risau tentang kos minyak dan tol.

Dari selatan ke utara Semenanjung Malaysia, Radin dan isteri merantau menggunakan kenderaan rekreasi.

“Saya boleh katakan motorhome ini mengeratkan hubungan kekeluargaan, hanya ada kita saja dalam rumah kecil tu, kita boleh pergi ke mana saja yang kita nak,” kata Radin.

Tambah Radin, isterinya yang pada mulanya tidak meminati perkhemahan boleh berubah hati kerana konsep unik yang ditawarkan kenderaan rekreasi, menikmati pemandangan sambil selesa bersantai di dalam ‘rumah’.

Radin bagaimanapun mengakui prasarana di Malaysia masih belum lengkap untuk menampung pasaran kenderaan rekreasi secara besar-besaran.

“Benda pertama yang kami kena waspada ialah jalan dan parking, takut ada yang tak muat untuk motorhome lalu. Lagi satu masih belum banyak campsite awam untuk motorhome di Malaysia, kalau ada pun private punya kita kena sewa.

“Campsite ni sediakan plug point untuk charge bateri motorhome, lebih mudah. Kalau tak ada campsite pun tak apa, motorhome kami ada bateri yang dikuasakan oleh generator, solar dan enjin, jadi senang nak tidur dekat mana-mana.

“Bekalan elektrik sentiasa ada, nak pasang penghawa dingin boleh. Kami pernah tidur di kawasan rehat dan rawat (RnR) Titiwangsa, Perak siap nampak gajah. Paling favourite tidur di tepi pantai Terengganu, best dengar deruan ombak.

‘Rumah bergerak’ yang membolehkan Radin dan isteri untuk tidur di mana-mana sahaja.

“Apabila ada motorhome ni kami lebih mobile, tak perlu punggah beg dari hotel ke hotel kalau banyak destinasi nak pergi. Kami sentiasa on the move, tak terikat dengan satu tempat,” jelas Radin.

Selain bekalan elektrik, Radin juga memerlukan bekalan air yang mencukupi untuk tandas dan mesin basuhnya.

“Saya biasa akan isi air untuk motorhome ketika isi diesel di stesen minyak, tapi kena minta kebenaran dulu sebab ada sesetengah stesen minyak yang minta bayaran RM1 macam tu dan ada yang bagi percuma, tengok budi bicara.

steri Radin menjadi peneman setia ketika pengembaraan mereka di dalam kenderaan rekreasi.

“Tandas dalam motorhome saya biasanya gunakan untuk mandi sahaja, kalau nak buang air kecil atau air besar saya selalunya guna tandas dekat luar. Sebab pengurusan sisa kumbahan dalam motorhome ni agak renyah sikit.

“Saya kena keluarkan tabung kumbahan tu dari bawah motorhome dan buang dalam mangkuk jamban di mana-mana tandas. Dan lagi satu mandi dalam motorhome ni kena mandi ‘kerbau’ sebab air agak terhad.

“Air tu nak pakai untuk cuci pinggan dan mesin basuh lagi, cukup la mandi untuk sekadar segarkan badan,” kata Radin.

Menutup bicara, Radin berkata pengalaman bercuti menggunakan kenderaan rekreasi adalah lain daripada yang lain dan semua orang harus mencubanya.

Sumber:hm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *