Gerai terbak4r, kemudian motor akhir sekali rumah… Suami isteri rayu bantuan teruskan hidup, 3 anak tiada baju raya

Sayu hati mengenangkan nasib keluarga ini yang diuji dengan dugaan bertimpa-timpa.

Ujian bermula dengan bisnes ayam goreng dan sate secara kecil-kecilan di hadapan rumah yang diusahakan pasangan suami isteri ini jatuh merudum secara tiba-tiba.

“Perniagaan kami diuji, sebelum ini boleh dapat RM200 hingga RM300 sehari tapi suatu hari kami hanya dapat RM2. Kami tetap teruskan berniaga sehingga gerai kami terbakar.

“Selang beberapa hari motosikal kami satu-satu yang ada untuk buat COD (khidmat pembayaran tunai semasa serahan barang) terbakar pula.

“Tidak lama selepas itu, kami diuji lagi dengan rumah terbakar sehingga sehelai baju pun kami tak dapat selamatkan,” demikian luahan seorang wanita yang dikongsi semula menerusi satu hantaran di Fb aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi.

Berkongsi cerita, Syed Azmi berkata, wanita dari Jeli, Kelantan itu merupakan salah seorang penerima bantuan yang sedang dilanda kesulitan dan kesusahan bersama keluarganya.

Menurut Syed Azmi, selepas insiden pertama iaitu kebakaran gerai, suami isteri itu tidak berputus asa dan terus berniaga walau terkesan dengan musibah itu.

“Semuanya berlaku pada bulan yang sama. Kebakaran gerai dan motor selang beberapa hari dan selang dua minggu rumah pula terbakar. Satu persatu ujian dan dugaan menimpa keluarga ini.

“Pasangan ini kemudian mencuba nasib berniaga ayam depan sekolah, tapi tak lama kerana si isteri sakit pula sehingga menyukarkan mereka berniaga,” katanya

Syed Azmi berkata, wanita berusia 25 tahun itu menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Namun sejak tiga insiden kebakaran yang menimpa keluarga ini, wanita yang merupakan ibu kepada tiga anak itu turut diuji dengan masalah kemurungan apabila didiagnosis major depressive disorder (MDD).

“Suami isteri cuba menjual air di tepi jalan tapi tiada sambutan. Mereka sangat tertekan kerana tak dapat berniaga dan tiada pendapatan hingga duit makan pun tiada.

Satu persatu ujian dan dugaan menimpa keluarga ini.

“Sampai ke satu tahap, anaknya pernah minum air gula kononnya dijadikan sebagai susu kerana langsung tak ada duit, mendapat bantuan belas ihsan daripada adik-beradik” kata Syed Azmi

mengenai suami isteri itu yang dikurniakan tiga anak berusia lima tahun, tiga tahun dan setahun.

Walaupun diuji dengan musibah dan kesusahan, Syed Azmi berkata, dia kagum dengan ketabahan wanita itu bersama suaminya berusia 29 tahun menempuh pelbagai ujian dan dugaan.

“Mereka tidak pernah berputus asa, malah mahu mencari pekerjaan untuk membina kehidupan baharu. Tapi sekarang tiada kerja, jadi mereka hanya makan apa yang ada saja dengan bantuan daripada kakak dan rakan-rakan.

“Kerana si isteri sakit, suami hanya boleh bekerja di lokasi berdekatan. Apatah lagi suami tiada kenderaan untuk berulang-alik jauh dari rumah. Selepas motor terbakar, mereka tiada kenderaan sendiri melainkan meminjam kereta atau motor daripada mentua.

“Untuk suami, kalau boleh peluang kerja di kawasan berdekatan dengan rumah. Tak kisah apa-apa kerja asalkan ada. Bukan mereka tak usaha cari kerja tapi keadaan kesihatan isteri yang tidak boleh ditinggalkan seorang diri menyukarkan keluarga ini,” ujarnya sambil menambah anak kedua pasangan itu menghidap kanser usus.

Kesempitan hidup bukan sahaja menyebabkan sewa di rumah kedai yang menjadi tempat berteduh lima beranak ini tertunggak selama beberapa bulan, malah mereka juga akur menjadikan nasi dan telur sebagai juadah berbuka puasa serta makanan harian.

Memikirkan ketibaan 1 Syawal tidak lama lagi hanya membuatkan suami isteri itu bertambah sayu mengenangkan nasib anak-anak menyambut hari lebaran.

“Mereka kata kalau ada yang nak bagi baju terpakai untuk anak-anak buat raya pun dah okay selain sedikit wang untuk mereka membeli barang keperluan raya.

“Dan jika ada rezeki mereka amat memerlukan sebuah motosikal untuk kemudahan mereka kembali berniaga makanan dan membuat COD. Moga kehidupan mereka selepas ini akan menjadi lebih baik,” kata Syed Azmi mengakhiri bicara.

Sumber:HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *