Terasa kehilangan sejak ibu bapa mninggal dunia, Aeril Zafrel tiada perasaan beraya di kampung

Perasaan ingin pulang ke kampung halaman meraikan Aidilfitri sudah tiada dalam diri pelakon dan usahawan Aeril Zafrel sejak kedua ibu bapanya mninggal dunia.

Aeril atau Suhairil Sunari, 36, berkata, dia dan isteri Wawa Zainal sebaliknya lebih gemar meraikan Aidilfitri dengan bercuti ke luar negara bersama keluarga.

Jelasnya, kehilangan ibu bapa ketika usianya 16 tahun cukup berat malah sehingga ke hari ini dia masih terasa dengan pemergian mereka.

“Nak balik kampung sudah tiada perasaan sebab orang tua sudah tiada.

“Jadi saya dan Wawa mahu bercuti ke luar negara seperti ke Indo nesia. Tapi masih dalam pertimbangan.

“Beraya di luar negara ini sebab nak cari angin baru,” katanya

Kata Aeril, hanya mereka yang bergelar anak yatim piatu akan memahami perasaan sunyi apabila tiba Aidilfitri.

“Sebelum ini tak pernah lagi beraya di luar negara, ini kali pertama.

“Saya rasa sesiapa yang sudah menjadi yatim piatu pasti lebih tahu perasaannya,” luahnya.

Berkongsi lebih lanjut, Aeril berkata dia dan anak-anak tidak dapat merasai keseronokkan pulang ke kampung halaman memandangkan ibu dan bapa mentua tinggal bersama mereka.

“Mak ayah Wawa memang tinggal bersama kami, jadi sudah selalu jumpa,” jelasnya.

Sementara itu, dia yang memahami jiwa kesunyian anak yatim piatu kerap berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan.

Jelasnya, dia hanya mengharapkan doa dari anak-anak tersebut kerana percaya kelebihan yang dimiliki oleh mereka.

“Saya sudah lama menjadi yatim paitu memang terasa perasaan itu apabila tiada orang tua.

“Saya yakin kalau saya lebih memberi kepada mereka Allah lebih memberi kepada kita.

“Doa-doa mereka ini tiada hijab dan kami mengharapkan mereka mendoakan kesihatan, perniagaan dan anak-anak kami,” ujarnya.

Sumber:HM