‘Pilot darat’ jenis pembersih ada bilik cantik dalam treler! Mengantuk terus tidur atas tilam pink, tak perlu h0tel

PEKERJAAN sebagai se0rang pemandu treler bukannya mudah dan memerlukan kes4baran yang tinggi.

Ada kalanya disapa sebagai ‘pilot darat’, mereka ini memandu di sepanjang lebuh raya menghantar kargo yang dipertanggungjawabkan.

Begitulah kisah lelaki ini yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Cross dan sudah bergelar pemandu treler selama hampir 12 tahun.

Menceritakan rutin pekerjaannya, Abang Cross berkata perjalanan pergi dan pulang untuk menyempurnakan tugasannya kebiasaannya mengambil masa tiga hari.

“Saya akan ambil barang kontena di Bukit Kayu Hitam, Kedah, kemudian akan hantar ke serata Malaysia. Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Singapura semua saya masuk.

“Selepas dah sampai ke destinasi dan selesai punggah kargo semua, saya akan isi barang semula dan patah balik ke Bukit Kayu Hitam,” ujar Abang Cross yang memulakan kariernya pada tahun 2010.

Menurut Abang Cross, walaupun kerjanya mengerah banyak tenaga dan perlu berjauhan dari yang tersayang, antara kelebihan lain yang diperoleh adalah dia berpeluang untuk mengembara.

“Jauh perjalanan, luas pemandangan. Selain boleh ronda-ronda, ramai yang tertarik dengan kabin dalam treler saya yang macam rumah.

“Kalau ikutkan sebenarnya setiap treler akan ada tempat tidur macam saya ni, untuk pemandu berehat dan lelapkan mata sebab perjalanan kami biasanya jauh-jauh.

“Cuma yang berbeza ialah cara kami hias dan cantikkan ruang kabin tu. Macam saya memang jenis yang pembersih dan pengemas.

“Saya susun bagi teratur semua benda dalam kabin tu. Tilam saya siap letak cadar. Kalau nak tahu, keadaan asal kabin tu sebenarnya kosong je tak ada apa,” kata Abang Cross yang menetap di Pulau Pinang.

Untuk rekod, kisah Abang Cross pernah dilaporkan mStar pada Oktober tahun lalu kerana dirinya mendapat perhatian orang ramai yang terpesona dengan konsep hostel dalam treler.

Suasana di bahagian dalam treler milik Abang Cross.

Abang Cross memberitahu, dia menamakan treler miliknya sebagai ‘Cik Putih’ dan menganggap ia sebagai rumah keduanya.

“Saya selalu kemas dan pastikan kabin ni dalam keadaan baik sebab mana-mana saya pergi, dia (Cik Putih) akan jadi peneman saya, untuk keselesaan saya juga.

“Saya memang tak boleh tempat yang kotor dan berselerak, nanti saya jadi serabut. Ada yang tanya kenapa nama Cik Putih? Sebab itu warna treler saya dan warna kegemaran saya juga.

Abang Cross turut mempunyai kipas yang siap dipasang di dinding kabinnya.

“Kadang ada warga maya yang tertanya-tanya, saya ada tempat memasak ke dalam kabin ni, tak ada sebenarnya. Saya tak masak dalam ni sebab takut bau busuk, melekat aroma makanan dekat semua tempat.

“Saya cuma bungkus makanan dan makan dalam ni je,” katanya yang pernah bekerja untuk syarikat logistik di Balakong dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Bercakap mengenai bekalan makanan, Abang Cross berkata dia ada membeli kudapan ringan untuk mengalas perut ketika perjalanan jauh.

“Saya biasa singgah ke kedai RM2 dan beli stok makanan macam Milo, keropok dan kerepek untuk kunyah-kunyah,” ujarnya.

Abang Cross sangat mementingkan kebersihan dan kekemasan di tempat tidurnya.

Antara perkara yang menjadikan pengembaraan Abang Cross lebih istimewa dan lain dari yang lain adalah kesempatannya untuk tidur di dalam kenderaan.

“Saya kalau tidur malam tak buka penghawa dingin sebab syarikat dah tetapkan enjin boleh buka maksimum sejam sahaja kalau berhenti. Lagipun saya tak tahan sejuk.

“Sebab bila penghawa dingin dipasang, minyak akan berkurangan. Sebaliknya saya ada kipas dekat tepi katil untuk bagi berangin. Kita ada soket elektrik. Tingkap pun saya akan turunkan sedikit untuk pengudaraan.

“Selain itu, untuk bantu saya tidur dengan lebih nyenyak, saya juga ada bawa bantal kekabu dan bantal peluk.

Bekalan makanan yang dibawa Abang Cross semasa perjalanan.

“Tentang cadar itu pula, ramai yang tertanya kenapa merah jambu semacam je, sebab itu je yang ada dekat rumah untuk saya ambil. Bukan sebab saya soft ke apa,” kata Abang Cross berseloroh.

Mengakhiri bicara, Abang Cross menitipkan pesanan bahawa berkecimpung sebagai seorang ‘pilot darat’ memerlukan minat dari hati untuk bertahan lama.

“Kita jadi pemandu treler ni tak boleh hanya sekadar suka-suka nak buat content di TikTok, kita kena ada semangat yang kita sendiri nak.

“Kalau tak, memang kita akan cepat burnout. Diri kena kental untuk berseorangan.

“Saya tak ada kelindan, jadi saya memandu hanya dengan bertemankan alunan lagu di corong radio dan melayan lamunan diri. Healing gitu,” kata Abang Cross.

Sumbar; Mstar