Petah Dalam Berbicara , Fatihah Salahuddin Mewarisi Sifat Kepimpinan Arwh Bapa.
Meskipun sudah lebih seminggu berlalu, pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahy4rham Datuk Seri Salahuddin Ayub masih dirasai oleh setiap ahli keluarga terutama isteri dan anak-anak beliau.
Terbaharu, anak perempuan arwah iaitu Fatihah Salahuddin menyatakan mereka sekeluarga masih lagi dalam proses menerima akan pemergian ‘hero’ disayangi menerusi hantaran dibuat di platform Fb.
“Sejujurnya kami masih dalam ‘processing’ atas pemergiannya. Terasa seperti ayah hanya keluar bekerja, cuma bezanya ayah sudah tidak pulang. Al-Fatihah buat ayah,”tulisnya.
Lemah Matematik, Fatihah Salahuddin kongsi persamaan dengan arwh bapa
Dalam hantaran yang sama, Fatihah yang juga seorang peguam turut menyatakan dia mempunyai persamaan dengan arwah bapanya iaitu lemah dalam mata pelajaran Matematik sewaktu di bangku sekolah.
Pun begitu, kehidupan alam persekolahannya seimbang kerana bertuah mempunyai seorang ibu yang tegas dalam membimbing mereka adik-beradik selain menjadi ‘cikgu Matematik’ di rumah.
“Masa trial (percubaan) SPM, saya dapat 6A 2B 1E. Matematik saya E. Itulah yang buat ayah risau.
“Menurut abang saya, saya mempunyai otak ayah. Mak saya pula pandai Matematik dan seorang yang kreatif. Dulu kalau buat latihan Matematik dengan mak, tak sah kalau saya tak nangis.
“Mak pula agak tegas membesarkan kami. Sebelum kami dibenarkan keluar bermain, kami kena belajar dan salin karangan daripada buku contoh karangan terlebih dahulu.
“Ayah juga agak tegas membesarkan kami, terutama ketika mengajar kami mengaji. Selalu jugalah menangis kalau mengaji dengan ayah,”ceritanya.
Bagi mengelakkan bapanya kecewa dengan pencapaian akademik, Fatihah menyatakan dia telah berjanji untuk mempelajari subjek Matematik bersama rakan.
“Ayah pesan, “Semua (mata pelajaran lain) dah okey, cuma Matematik ni kena belajar lebih sikit. Matematik kalau gagal nanti tak boleh masuk U (universiti)
“Kemudian saya berjanji kepada ayah “Okey, nanti Nina (nama gelaran dalam keluarga) belajar dengan kawan.
“Alhamdulillah, masa SPM saya dapat 6A dan 3B. Saya dapat B dalam subjek Matematik,”kongsinya.
Masuk kelas pengucapan awam, kepetahan Fatihah juga mewarisi bakat arwh bapa
Selain itu,
Fatihah yang memiliki firma guaman sendiri turut menyatakan dia berkemungkinan mempunyai bakat kepetahan berbicara seperti arwh bapanya ketika berada di hadapan orang ramai.
Kelebihan itu mula disedari Fatihah sewaktu menyertai kelas pengucapan awam (public speaking) yang pada asalnya dipilih kerana kurang menggemari kokurikulum jenis aktiviti lasak di universiti.
“Dari situ saya belajar bagaimana untuk membina keyakinan bercakap di hadapan orang ramai dan bagaimana untuk menyusun isi-isi dalam ucapan untuk menarik orang mendengar apa yang kita ingin sampaikan.
“Mungkin bakat itu saya dapat daripada ayah tapi melalui kelas begini saya dapat pelajari dan belajar kemahiran yang sepatutnya,”ujar Fatihah.
Amati bahasa tubuh arwh bapa ketika berceramah
Tambah Fatihah yang pernah dilantik sebagai Setiausaha Sulit Speaker Dewan Rakyat ke-9,
Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff Md Yusof, dia sering memerhati dan mengamati bahasa tubuh bapanya ketika sedang memberi ceramah sewaktu kecil dahulu.
Malah, impiannya untuk sepentas memberi ceramah bersama arwah bapanya menjadi kenyataan sewaktu musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Simpang Jeram tempoh hari.
Bukan itu sahaja, peguam syarie ini sempat berpidato beberapa kali di hadapan arwah bapanya sepanjang menyertai Parti Amanah Negara sejak 2016.
“Selalunya bila tiba giliran ayah ceramah, saya akan tekun dan terpegun tengok ayah atas pentas. Saya amati bahasa tubuhnya ketika berceramah. Saya pun ada berangan juga tiru cara ayah berceramah di tangga rumah atok masa kecil dulu.
“Masa PRN Simpang Jeram, ayah ada ajak saya berceramah sepentas dengannya. Saya lihat dia amati cara dan gaya saya bercakap. Mungkin dia menilai cara saya berceramah. Dia hanya tersenyum tidak memberikan apa-apa komen.“Kadang-kadang dia juga berseloroh “Oh, ni tak lama habislah ayah macam ni”. Selalunya saya hanya ketawa,”kongsinya lagi.
Sementara itu, Fatihah mendedahkan dirinya masih dan sedang mempelajari kemahiran diplomasi yang dimiliki oleh arwh bapanya untuk menjadi seorang pendamai dan berjiwa besar.
Fatihah berkata, dia sangat menggagumi tahap kesabaran arwah bapanya yang sangat tinggi ketika melayani kerenah pelbagai pihak, baik dari segi layanan dan menjadi pendengar yang baik.
“Itulah kualiti saya idamkan daripada ayah. Dengan kualiti itulah membuatkan ayah disenangi kawan dan lawan sehingga hujung nyawanya,”coretnya menerusi hantaran di Fb.
Sumber: FB Fatihah Salahuddin