Penyanyi Khai Bahar Terkilan Tak Dapat Bawa Ibu Bapa Menonton Konsert Pertama Di Dewan Filharmonik Petronas.

Hasrat penyanyi Khai Bahar untuk membawa kedua ibu bapa menonton konsert pertamanya yang akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), 

Kuala Lumpur tidak kesampaian disebabkan faktor kesihatan mereka tidak begitu baik.

Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin, 29, berkata sejak diberikan tawaran membuat konsert di DFP tahun lalu, dia sudah berhajat untuk membawa ibu bapanya menonton persembahan di pentas berprestij itu.

Namun, penyanyi berkenaan akur dengan tahap kesihatan orang tuanya yang sudah lagi tidak seperti dulu.

Tahap kesihatan ibu dan ayah Khai tidak berapa baik.

“Mak tak boleh datang dengan keadaanya seperti itu (tidak sihat). Dari akhir tahun lalu lagi sewaktu mendapat tawaran buat persembahan di DFP, saya sudah teruja untuk bawa mak dan ayah menonton persembahan saya di sini (DFP).

“Ayah saya kesihatannya juga makin merosot, saya rasa terkilan sedikit kerana tidak dapat membawa mereka bersama ke sini,” katanya .

Khai berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Solo Khai Bahar yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sebelum ini, Khai memberitahu dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon drama mahupun filem susulan kesihatan ibunya yang kurang baik ketika ini.

Saya rasa terkilan sedikit kerana tidak dapat membawa mereka bersama ke sini.

Pada September tahun lalu, ibu Khai iaitu Rosnah Muhammad dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah buah pinggang .

Menurut Khai, doktor memaklumkan ibunya perlu menjalani rawatan dialisis akibat penyakit itu.

Bercakap mengenai konsert yang bakal dianjurkan, Khai menjanjikan kelainan dalam persembahannya kali ini dengan membawakan lagu pelbagai genre.

Tambah Khai, dia akan turut menyanyikan lagu-lagu saduran yang pernah dibawa dan paling menarik perhatian adalah penyanyi lagu Bayang ini juga bakal membawakan lagu irama dangdut.

“Kali ini saya akan membuat sedikit kelainan di mana pelbagai genre akan ditampilkan… termasuklah nyanyian lagu saya dan lagu-lagu cover yang pernah saya nyanyikan.

Khai tidak sabar mahu menghiburkan penonton di DFP.

“Sebelum ini ramai peminat yang sudah melihat saya menyanyikan lagu cover di YouTube, jadi kali ini saya mahu bawakan di DFP… mereka memberi peluang untuk saya lakukan apa yang saya mahu.

“Paling menarik, saya akan menyanyikan lagu dangdut dan kita semua (penonton) akan menari bersama-sama di DFP nanti,” ujarnya.

Konsert Solo Khai Bahar di Dewan Filharmonik Petronas bakal berlangsung pada 11 November ini dan tiket boleh didapati dengan harga bermula RM189 hingga RM399.

Sumber:Mstar