Seorang wanita genggam PhD pada usia 82 tahun, amalkan baca al-Quran untuk kuatkan ingatan
Berita mengenai se0rang wanita genggam PhD pada usia 82 tahun sememangnya telah mencetuskan inspirasi buat golongan muda untuk menyambung pelajaran tanpa mengira usia.
Kisah kejayaan anak kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang ini bukan sahaja tular, bahkan memberi aura positif buat orang ramai untuk terus menuntut ilmu.
Ustazah Siti Zaharah Hamid atau mesra disapa Ummi berjaya memperoleh kejayaan dalam peperiksaan lisan Ijazah D0ktor Falsafah (PhD) Islamiyyat, Universiti Islam Selangor.
Kongsi Siti Zaharah, segalanya bermula apabila dia tekad berhijrah ke Kuala Lumpur pada usia 11 tahun disebabkan minatnya untuk menuntut ilmu secara mendalam.
Pada usia 16 tahun, anak ketiga daripada 12 beradik ini juga sudah mula menjadi tenaga pengajar di beberapa sekolah agama di sekitar Kuala Lumpur sebelum menyambung pelajaran secara pra-kuliah.
“Latar belakang Ummi dari kecil memang dah merantau. Lain dengan adik-beradik lain. Sebab Ummi rasa seronok dan teringin sangat nak sambung belajar.
“Ketika beritahu mak ayah nak merantau, mereka benarkan sahaja sebab ada kakak sepupu di Kuala Lumpur. Ummi pula tidak berkahwin lagi sampai sekarang, jadi rasa nak belajar tu sentiasa ada,”katanya.
Selepas selesai pra-kuliah, beliau menyambung pengajian di Ijazah Sarjana di Universiti Al-Azhar sebelum pulang ke Malaysia pada 1995.
“Selepas itu, Ummi mengajar di Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) sebelum bertukar mengajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
“Pada 2013, diperkenalkan Skim Islamiyyat dimana Ummi boleh mengajar sambil sambung belajar. Sampailah kontrak mengajar Umi tamat pada 2018.
“Setelah itu, Ummi hanya belajar sendiri. Tambah pula dugaan ‘supervisor’ (penyelia) Ummi meninggal dunia, jadi memang ambil waktu sedikit untuk habis PhD sampailah ke tahun ini,” ujarnya.
Kongsinya lagi, beliau merupakan penuntut paling berusia ketika menyambung pada peringkat PhD, termasuk mempunyai batasan dari sehi kecergasan.
Bagaimanapun, ia bukanlah suatu halangan sekiranya seseorang itu mempunyai niat murni untuk menghabiskan pengajian.
Amalkan baca al-Quran untuk kuatkan ingatan
Sementara itu, Siti Zaharahberkata, dia tidak mempunyai petua lain yang diamalkan untuk menguatkan daya ingatan selain mewajibkan bacaan al-Quran yang dijadikan sebagai rutin harian.
Menurutnya, dia berkemungkinan sudah nyanyuk pada usia lanjut sebegini sekiranya sudah berhenti mengkaji al-Quran atau tidak berinteraksi dengan orang lain sejak awal lagi.
Pada masa sama, Siti Zaharah berkata seseorang itu perlu berniat untuk belajar kerana Allah dan bukannya semata-mata mahu menunjukkan prestasi.
“Belajar ini adalah tuntutan fardhu. Macam Ummi, tak ada harta lain-lain dah. Cuma ilmu ini sebagai bekalan nak bawa jumpa Allah.
Jangan belajar sebab nak kejar KPI (petunjuk prestasi utama).
“Pada Ummi, tiada yang memotivasikan Umi selain Allah.
Buat golongan muda di luar sana, perlu tahu matlamat kita belajar untuk apa. Ilmu ini kita belajar dan beramal untuk menjadi bekalan di akhirat nanti,”pesannya.
Fuhh! Rasa tercabar pula bila tengok Ustazah Siti Zaharah berjaya genggam PhD walaupun sudah berusia 82 tahun. Kalau Ustazah boleh, kenapa kita yang masih muda dan bertenaga tak boleh kan?
Sumber: HM