“Kita Ada Anak Menunggu!”Maya Sidek Tukar Lampu Spotlight KLCC, Suami Nasihat
Keberanian wanita itu turut dipuji oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah video khas sempena ulang tahun ke-25 menara berkenaan.
Berusia 32 tahun, wanita asal Negeri Sembilan ini bertugas sebagai Rope Access technician dan terkini Non-Destructive Testing (NDT) technician secara freelancer sejak 2018.
Selama tujuh tahun dalam industri ini, Maya juga pernah bekerja di Dubai Dry Docks selama 2 bulan sebagai NDT Technician Pipeline.
Tidak ramai yang berpeluang menakluk puncak KLCC. Justeru, tugasnya menukar lampu pada mercu kedua tertinggi di Malaysia itu juga menjadi kebanggaan beliau.
Namun selama bertugas, keberanian Maya mula meraih perhatian selepas tular video ini. Jom saksikan aksi Maya in action…
Dalam video memaparkan Maya bertugas di puncak bangunan Menara Berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) setinggi 88 tingkat itu, keberaniannya menukar lampu spotlight di sana meraih perhatian dunia.
“Saya gembira menerima tawaran ini, malah terpilih untuk menjalankan tugas untuk menukar lampu spotlight di KLCC.
Bangunan ini berada dalam bucket list saya sejak bekerja dalam bidang Rope Access NDT. Saya juga membesar dengan melihat bangunan ikonik KLCC.
Saya duduk di atas sana (sekejap) rasa seperti healing. Pemandangan dari atas sangat cantik, jelas keindahan dunia di bumi ini,” ujarnya.
Ditanya bangunan impian lain yang teringin ditawan, dengan tenang Maya menjawab ‘KL Tower’.
Dalam pada itu, Maya juga berkongsi menjalankan tugas pada aras tinggi bukan mudah dan berisiko tinggi.
Kekuatan mental dan fizikal perlu dipersiap demi kelancaran tugas di samping perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan biarpun sudah dilengkapi alat keselamatan.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga berkahwin dengan pasangan yang bekerja dalam industri yang sama. Keberanian Maya Sidek tukar lampu spotlight KLCC raih pujian, namun di sebalik itu suami sempat beri nasihat, “Kita ada anak menunggu!”
“Tak ada masalah untuk bekerja kerana dia memahami kerja-kerja saya. Cuma selalu suami nasihat supaya lebih berhati-hati sebab kita ada anak di rumah yang menunggu,” kongsinya.
Sumber:hm