Lama Menanti Kehadiran Zuriat , Siti Elizad Syukur Mentua Dan Bapa Tak Tanya Soal Anak.

Pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan keluarga mentua dan bapa memahami keadaannya yang masih bersabar menanti kehadiran cahaya mata sulung.

Menerusi perkongsian di laman Instagram radio SINAR, dia yang mesra disapa Ejad berkongsikan kisah kepayahannya yang lama disimpan dengan rapi dalam usaha untuk menimbang cahaya mata.

Pelakon berusia 39 tahun itu turut memaklumkan dengan sebak bahawa dirinya akur belum ada rezeki walaupun sudah lapan tahun melayari bahtera rumah tangga bersama suaminya Shamsul Baharin Rahman.

“Sebab orang tak tahu macam mana ‘struggle’ kita pergi berubat ikhtiar. Kalau ikutkan, tahun depan masuk sembilan tahun (usia perkahwinan).

“Tapi itulah, mungkin belum ada (rezeki),” kata Elizad.

Walaupun berasa tertekan daripada faktor sekeliling kerana adik beradiknya yang sudah mempunyai ramai cahaya mata, Siti Elizad bagaimanapun kagum dengan orang tuanya yang tidak pernah persoal tentang zuriat.

“Tapi yang paling saya kagum adalah mertua ataupun bapa saya tak pernah tanya bila nak ada anak.

“Kalau ikutkan, dalam adik beradik saya semua ada anak yang sangat ramai. Tapi bila giliran saya, diorang tak ‘push’,” tambahnya.

Rakan penyampai, Jep Sepahtu turut sempat titip pesanan dan kata-kata semangat buat Elizad supaya tidak berputus asa untuk berdoa dan ikhtiar serta menyerahkan selebihnya kepada Allah.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata warga maya terutamanya pejuang ttc berkongsikan pengalaman mereka dalam menanti kehadiran zuriat pertama selepas beberapa tahun membina rumah tangga.

Sama macam mentua saya

Mohon doakan saya juga dah 7 tahun

14 tahun takde anak, mentua tak tanya apa-apa

Dapat cucu pertama lepas 7 tahun kahwin

Kisah tersebut dikongsikan susulan daripada seorang pemanggil yang dikenali sebagai Kak Dian berkongsi kisah penantian 10 tahun menanti cahaya mata namun tidak sempat ditunjukkan kepada ibu bapa mentua yang telah meninggal dunia.

Sumber: Ig SINAR