Kereta ‘terjun’ longkang ketika hujan, pemuda dan isteri sayu lap roti basah di rumah

Nasib kurang baik menimpa penjual roti ini apabila kereta Proton Saga yang dinaiki terbabas dan masuk ke dalam longkang.

Lebih pilu lagi ketika itu Muhammad Iqbal Mohamad Ali sedang berniaga dalam cuaca hujan di kawasan Kampung Raja, Besut, Terengganu.

Ketika dihubungi mStar, jejaka berusia 29 tahun ini menceritakan semula kisah tersebut yang menjadi tular di media sosi4l.

“Ada pelanggan panggil saya nak beli roti. Kereta saya dah bergerak terlajak dari rumah dia jadi saya undur untuk ke perkarangan kediaman dia. Entah macam mana boleh termasuk dalam longkang.

“Memang ada lubang dekat kawasan rumah dia cuma saya tak perasan. Saya cuba nak naik semula memang tak boleh sebab lubang tu dalam dan licin.

“Masa kejadian tu hujan lebat jadi memang ‘barai’ (sukar) lah. Kebetulan dekat rumah dia ada Toyota Hilux, jadi dia gunakan kereta tu tarik keluar kenderaan saya,” ujarnya yang senang disapa Iqbal.

Bapa kepada seorang cahaya mata ini berkata, dia terus pulang ke rumah selepas kejadian memandangkan hampir semua roti jualannya basah terkena air hujan.

Sebagaimana diceritakan, pada hari itu dia hanya sempat menjual beberapa keping roti sahaja kepada enam pelanggan yang sempat membelinya.

“Kalau hari hujan saya tetap berniaga sebab masa tu pelanggan biasanya lapar nak cari makan. Tapi nak buat macam mana, rezeki saya takat situ saja pada hari kejadian.

“Balik rumah tu saya dengan isteri sama-sama lap semula roti yang basah tu menggunakan kain. Esoknya saya berniaga macam biasa semula dengan jual roti-roti yang masih dalam keadaan baik,” katanya.

Bercerita mengenai perniagaannya, anak sulung daripada 18 adik beradik ini menjual roti dengan tujuh inti berbeza.

Dengan harga RM3 bagi setiap satu, Iqbal yang menetap di Pasir Puteh, Kelantan ini berniaga di sekitar Besut bermula pukul 5 petang hingga 7 malam setiap hari kecuali Jumaat.

Ada juga sebelum ni ramai orang tegur bila tengok saya pakai Proton Saga lama je berniaga.

“Sebagai anak sulung, sayalah yang meneruskan legasi bapa menjual roti. Sekarang, saya uruskan sendiri pembuatan roti di rumah kedai kami.

“Saya yang uli tepung, bakar dan potong roti-roti tersebut. Cuma saya ambil beberapa orang pekerja untuk isikan inti yang berbeza-beza.

“Apa yang istimewanya roti ni, saya tak letak langsung bahan pengawet jadi ia tak tahan lama. Setiap hari saya hasilkan roti ‘fresh’ untuk dijual yang bertahan dua hingga tiga hari saja,” ujarnya.

Berkongsi mengenai impian, anak jati Kelantan ini berharap semoga keinginannya untuk memiliki sebuah kereta mewah dapat direalisasikan suatu hari nanti.

Ada juga sebelum ni ramai orang tegur bila tengok saya pakai Proton Saga lama je berniaga. Mereka tanya tak nak tukar ke? Saya ada kereta Proton Gen 2 sendiri.

“Tapi kereta idaman saya Vellfire. Saya pula adik beradik ramai jadi saya perlukan kereta besar untuk bawa mereka pergi bercuti ke mana-mana.

“Saya berharap semoga impian saya suatu hari nanti akan tercapai. Saya juga impikan untuk buka kilang bagi memajukan lagi perniagaan ayah saya,” ujarnya lagi.

Sumber:mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *