Jual Motor Demi Ziarah Kubur Anak Di Madinah . Rezeki Hotel Dekat Tanah Perkubur4n . Syahdu Kejadian Di Puasara Sebelum Balik

Berita pemergian Nur Alesha Ammara Mohamad Amirul yang berusia empat tahun akibat jangkitan kuman ketika mengerjakan umrah bersama keluarga pada 14 Februari tahun lalu ternyata meruntun hati ibu bapanya dan seluruh rakyat Malaysia.

Walau setahun sudah berlalu, rasa rindu keluarganya terhadap kanak-kanak comel ini masih menebal malah dirinya sentiasa dalam ingatan.

Kerinduan itu bagaimanapun sedikit terubat apabila Mohamad Amirul Zulkafly berpeluang menziarahi pusara anak perempuannya itu di Tanah Perkuburan Baqi’ di Madinah.

Berkongsi cerita, pemuda berusia 37 tahun itu berkata, dia bersama isteri, Nur Ashwa Johalim, 34, dan anak sulung, Mohamad Arysh Ayden, 7, diberi peluang sekali lagi untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah pada Disember lalu.

“Selepas Esha (panggilan nama arwh) mninggal dunia, saya hari-hari teringin nak ke sana, cuma kemampuan belum diizinkan. Saya fikir suatu hari nak pergi seorang diri pun tak apa.

“Tapi segalanya berubah apabila seorang hamba Allah bermurah hati mahu menaja anak lelaki saya ke Tanah Suci pada akhir tahun lalu,” katanya .

Demi mengerjakan umrah dan menziarahi pusara Allahyarham Nur Alesha, guru di sebuah sekolah rendah di Ranau, Sabah itu berkorban menjual motosikal kesayangan, 

Yamaha LC135 V1 yang digunakan sejak 2011 bagi menanggung perbelanjaan dirinya dan isteri ke Tanah Suci.

“Motor tu ada banyak kenangan bersama arwah kerana setiap petang saya sering bawa arwah jalan-jalan. Bila jual motor tu diibarat sebagai satu pengorbanan yang amat besar.

“Memang sayang nak jual sebab setiap kali tengok motor tu teringat arwah, tapi saya percaya ada rezeki saya lain yang lebih baik,” ujarnya yang berasal dari Arau, Perlis.

Rombongan ke Tanah Suci pada 17 hingga 28 Disember lalu turut disertai ibu mentua, adik ipar bersama tiga lagi saudara mara.

Selain sesi khas bacaan Yasin untuk arwh anaknya bersama pasukan rombongan yang diaturkan oleh agensi umrah, hotel di Madinah juga terletak berdekatan dengan Tanah Perkuburan Baqi’.

“Paling saya terharu dan bersyukur apabila masuk je ke bilik penginapan kami, dari tingkap boleh nampak (kawasan perkuburan).

Sayang nak jual sebab setiap kali tengok motor tu teringat arwh, tapi saya percaya ada rezeki lain yang lebih baik.

“Memandangkan hanya jemaah lelaki yang boleh masuk ke tanah perkuburan, jadi saya buat panggilan video isteri di bilik sambil lambai tangan untuk dia tahu kedudukan pusara Esha.

“Sepanjang berada di Madinah, hari-hari saya boleh pergi ke pusara. Buka tingkap bilik hotel, kanan nampak Tanah Perkuburan Baqi’ dan kiri pula kubah hijau Masjid Nabawi,” ujarnya.

Pada hari terakhir sebelum pulang ke tanah air, Mohamad Amirul menziarahi pusara arwah anaknya untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’.

“Masa hari terakhir tu, saya datang selepas Subuh dan hujan turun. Alhamdulillah kebetulan hari terakhir basah pusara, memang rasa syahdu,” katanya lagi.

Pada Februari tahun lalu,  melaporkan kisah pemergian Nur Alesha ketika dibawa keluarganya menunaikan umrah.

Cukup menakjubkan apabila terdapat merpati yang dikatakan ‘membuat lawatan’ ketika rombongan Amirul sedang membaca Yasin di Masjid Nabawi sebelum anaknya disahkan mninggal dunia.

Kenangan… Mohamad Amirul bersama isteri, anak lelaki dan arwh Nur Alesha ketika mengerjakan umrah pada Februari 2023.

Dalam pada itu, Mohamad Amirul turut bersyukur urusan umrahnya berjalan lancar, malah terdapat dua jemaah dari Sudan dan Maghribi yang ditemuinya di Makkah dengan baik hati mendoakan dia sekeluarga termasuk arwah, di hadapan Kaabah sehingga ke hari ini.

“Mereka menetap di Makkah, dan kami masih berhubung sehingga ke hari ni dan sentiasa mendoakan arwh,” katanya.

Menurut guru itu lagi, kehidupannya juga sama sekali berubah selepas pemergian anaknya yang menggerakkan hatinya untuk mendaftar haji pada Mac tahun lalu.

“Jika melihat pada giliran, tahun peruntukan saya adalah 2166. Jadi, saya amat berharap moga panggilan sebagai ‘tetamu Allah’ untuk menunaikan haji dipercepatkan.

“Selepas daftar haji, saya selalu berdoa agar panggilan untuk saya disegerakan. Moga ada rezeki menunaikan haji dan ziarah pusara Esha,” katanya.

Sumber:HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *