Jiran India nak bertunang, tetangga Melayu pula sibuk merewang… Paling menarik ada pelamin bunga-bunga dalam rumah!

SETIAP kali adanya majlis kenduri di rumah, jiran-jiran pastinya antara yang turut sibuk membantu membuat persiapan dan memeriahkan suasana.

Lebih menarik menerusi satu perkongsian video di TikT0k, sebuah keluarga berbangsa Melayu membantu jiran India mereka menyambut hari istimewa.

Cantik berpakaian sari persis pengantin, se0rang wanita India dilihat berbual mesra dengan jirannya seperti adik-beradik.

Berkongsi cerita kepada mStar, Darsenee Raja berkata, rakaman itu dibuat ketika majlis pertunangannya yang diadakan di kediamannya di Linggi di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada 27 Mei lalu.

Darsenee memberitahu, kehadiran ramai saudara-maranya yang datang berkumpul bagi menghadiri majlis tersebut menyebabkan dia memilih untuk bersiap dan berhias di rumah jiran.

“Bukan saya saja, saudara-mara pun sibuk bersiap. Jiran Melayu saya di sebelah rumah offer untuk bersiap di kediaman mereka.

“Saya tak kisah sebab kami ibarat satu keluarga. Hubungan kami sangat rapat sejak saya dibesarkan di sini, kami sudah kenal 17 tahun,” katanya ketika dihubungi mStar.

Majlis pertunangan Darsenee pada 27 Mei 2023.

Wanita berusia 26 tahun itu berkata, dia sekeluarga tinggal di kawasan perumahan yang majoritinya adalah penduduk berbangsa Melayu dan hubungan mereka begitu akrab.

Malah kata Darsenee, majlis pertunangannya turut dibantu jiran-jiran Melayu secara beramai-ramai.

“Jiran-jiran bantu keluarga saya menguruskan makan minum dan melayan tetamu. Mereka juga tolong susun segala barang-barang termasuk meja dan kerusi di khemah.

“Pelamin pun tempah yang majlis kahwin orang Melayu selalu guna sebab cantik,” ujarnya sambil menambah jiran-jiran juga turut sama membantu membersihkan lokasi majlis.

Jiran-jiran membantu melancarkan majlis pertunangan Darsenee.

Menurut anak tunggal itu, selain saling bantu-membantu, kehidupan mereka sesama jiran-jiran juga cukup selesa hingga tidak kekok berkongsi rezeki antara satu sama lain.

“Kalau nak makan masakan Melayu, saya pergi ke rumah jiran-jiran. Begitu juga mereka datang ke rumah kami kalau nak rasa makanan India seperti tose, vadai dan lauk kari dhal.

“Malah, ibu saya sendiri sudah boleh masak rendang ayam, ayam masak merah dan lemang tanpa perlu tunggu Hari Raya,” katanya lagi.

Hubungan mesra keluarga Darsenee bersama jiran-jiran.

Bertugas sebagai guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di Segamat, Johor, wanita ini turut selesa berpenampilan baju kurung.

“Selain pakai Sari ke sekolah, saya juga sering memakai baju kurung yang dibeli jiran-jiran. Mereka belikan sebab tahu kesukaan, warna dan jenis kain yang saya selesa pakai.

Kekuatan hubungan kami sesama jiran adalah saling membantu, hormat-menghormati dan berkerjasama.

DARSENEE RAJA

“Bukan setakat pemakaian, kami lebih banyak berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Jiran-jiran juga ada yang faham sesetengah perkataan bahasa Tamil.

“Macam ada seorang jiran iaitu kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dia faham apa yang kami cakap dalam bahasa Tamil. Saya anggap macam adik sendiri,” ujarnya lagi.

Darsenee anggun berbaju kurung.

Menurut Darsenee, dia bersyukur kerana kehidupannya bersama jiran-jiran begitu akrab seperti sebuah keluarga.

“Kekuatan hubungan kami sesama jiran adalah saling bantu-membantu, hormat-menghormati dan berkerjasama.

“Kami hidup bersatu-padu walaupun berlainan agama dan bangsa,” katanya.

Sumbar; Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *