“Hari Pertama Jumpa Dah Bawa Balik Jantung Pisang” Keluarga Ardini Angeline Tan Terbuka Anak Peluk Islam Dan Terima Sabri Yunus .
Restu keluarga segalanya dalam membina rumah tangga. Hal itu juga tidak terkecuali buat pelakon veteran dan pengarah, Sabri Yunus dan Ardini Angeline Tan.
Ujarnya, dua cahaya mata menerima Sabri sebagai sebahagian daripada keluarga mereka dengan baik.
“Sebenarnya semasa kami mula berkawan. Daripada sahabat biasa kepada lebih serius, anak-anak saya sudah mengetahui.
“Tak pernah sorok, kami dengan ikhlas dan jujurnya beritahu keluarga.
“Abang Sabri pun pernah ke rumah emak Angeline dan adik-beradik pun sudah tahu. Jadi proses tidak susah kerana mereka faham,” ujarnya.
Hari pertama jumpa bawa balik jantung pisang
Paling mengejutkan beliau ialah penerimaan ibu. Ujar pelakon berusia 56 tahun itu, ibunya menerima Sabri dan keputusan mereka untuk mendirikan rumah tangga.
“Saya terkejut kerana ibu bukan seorang yang senang (menerima) dan adakalanya berfikiran negatif.
“Pada hari pertama saya bawa pulang Sabri dan memperkenalkan kepada keluarga, ibu saya tidak sampai lima minit sudah ramah melayani.
“Bercerita tentang jantung pisang dan memberikannya kepada Sabri. Tidak hanya itu, pokok yang ditanam ibu dan sayur-sayuran juga,” ujar Angeline.
MALAH SABRI JUGA BERSELOROH, PADA HARI PERTAMA BERTEMU IBU BUAH HATINYA, BELIAU TELAH MEMBAWA PULANG JANTUNG PISANG YANG DIBERIKAN SEBAGAI BUAH TANGAN.
Dalam temu ramah segmen Zayan Pagi menerusi stesen radio Zayan, Angeline atau nama asalnya Tan Yoke Yeah mendedahkan bagaimana perjalanan beliau memeluk Islam.
Pemegang watak Lucy dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu mendedahkan keluarga menerima secara terbuka keputusannya memeluk agama Islam.
“Saya memberitahu emak dan adik-beradik bahawa saya akan memeluk Islam. Mereka semua OK.
“Pakcik yang paling takut kerana dia agak garang. Saya telah menemuinya sebelum majlis akad nikah. Kami rapat kerana ketika kecil saya tinggal dengan nenek dan pakcik.
“PAKCIK TAHU SAYA BERKAWAN DENGAN SABRI DAN TELAH MEMELUK ISLAM. KATA PAKCIK, ‘VERY GOOD’ DAN BERPESAN AGAR SAYA MENJAGA PEMAKAIAN,” UJAR ANGELINE TENTANG RESTU KELUARGA.
Malah kata Angeline, bapa saudaranya turut hadir semasa majlis akad nikah baru-baru ini.
Dahulukan anak-anak
Menduda selama 16 tahun selepas kematian isteri Norraya Mohd Yusof akibat kanser, Sabri membesarkan anak-anak bersendirian.
Mendahulukan tiga permata hatinya dan memberikan sepenuh perhatian sehingga membesar, baharulah pengarah Pok Ya Cong Codei itu memikirkan secara serius tentang mencari teman hidup.
“Memandangkan anak-anak masih kecil lagi ketika itu, berumur 16, 14 dan 12 tahun, saya besarkan mereka dahulu.
“Tunggu anak-anak menghabiskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beza umur mereka bertiga dua tahun antara satu sama lain.
“Jadi selepas seorang habis SPM, ada lagi adiknya. Saya fikir, habiskan (SPM) semua dahulu,” katanya.
TIDAK SEKADAR FAKTOR PELAJARAN, BELIAU JUGA MEMIKIRKAN EMOSI DAN PERASAAN ANAK-ANAKNYA HINGGA SANGGUP MENUNDA HASRAT BERKAHWIN LAGI.
“Saya risau sebab mereka anak yang baik dan menghormati ayahnya.
“Jika tidak suka (ibu tiri), mereka akan diam sahaja kerana hormati ayah. Hal itu saya bimbang akan merosakkan hati mereka
“Jadi, saya besarkan anak-anak dahulu. Namun, saya tidak pernah tutup buku dalam soal jodoh kerana ia hak Tuhan dan telah ditentukan-NYA,” ujar Sabri.
Sabri dan Angeline melangsungkan perkahwinan pada 14 Oktober dalam satu majlis ijab kabul tertutup di Musalla Teduhan Doa, Kangar, Perlis.
Biarpun bersahabat baik sejak 1992, perkenalan serius antara mereka hanya mula terjalin ketika pandem1k .
Sumber: TT Zayan