Filem Terakhir Hairul Azreen , Umum Bersara Sebagai Pelakon”Malbat Misi Berkara”
Hairul Azreen membuat kejutan apabila mengumumkan bakal bersara daripada dunia seni ketika muncul menerusi segmen 3 Pagi Era pada pagi Isnin.
Hairul atau Hairul Azreen Idris, 34, berkata, filem terbaharu lakonannya iaitu Malbatt Misi Bakara merupakan karya terakhir lakonannya.
Jelas Hairul, dia tidak mahu menjadi seorang manusia yang tamak selain berhasrat mengakhiri kariernya dengan sebuah naskhah hebat.
“Saya Hairul Azreen ingin mengumumkan yang saya akan berhenti berlakon kerana saya sudah melakonkan semua watak.
Malbatt Misi Bakara merupakan filem terakhir lakonan Hairul.
“Allah sudah beri saya pelbagai peluang melainkan saya manusia yang tak pandai bersyukur.
“Perjuangan saya dalam kerjaya seni biarlah saya akhirinya dengan filem yang membanggakan saya iaitu Malbatt Misi Bakara,” katanya.
Pengumuman mengejut itu turut membuat tiga penyampai radio segmen berkenaan iaitu Azad Jazmin, Radin dan Linda Onn terperanjat dengan keputusan aktor itu.
Mereka juga tertanya-tanya sama ada apa diperkatakan Hairul itu adalah serius atau sekadar gurauan.
Dalam pada itu, Hairul memberitahu sebab utama dia ingin meninggalkan kerjaya lakonan adalah kerana ingin meluangkan lebih masa bersama keluarga.
Ini kerana, sekiranya dia terikat dengan sesuatu projek, dia memerlukan masa lama demi memberi fokus terhadap lakonan dan tidak mempunyai masa terhadap keluarga.
Hairul ingin memberi fokus kepada keluarga.
“Sekiranya saya berlakon filem, saya perlukan enam bulan… saya buat badan seminggu enam kali… pagi petang siang malam, tahu-tahu anak saya sudah besar.
“Ada orang tak sempat lihat anak-anak mereka membesar… Alhamdulillah mak saya masih ada.
“Jadi, saya rasa apa yang saya ada sekarang ini sudah mencukupi dan berpuas hati,” ujarnya.
Untuk rekod, Hairul pernah membintangi beberapa filem popular termasuk Hantu Kapcai, Gila-Gila Remaja 2, Pak Pong, Paskal, The Assistant dan Malbatt Misi Bakara.
Sumber:mstar