“Kebetulan terindah , selamat ulang tahun bidadari” Fedtri Yahya rangkul Pengulas TV terbaik pada hari lahir isteri

Tahniah buat pengacara terkenal dengan bait-bait puitis, Fedtri Yahya yang berjaya merangkul Pengulas TV pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024.

Dicalonkan dalam lima kategori berbeza pada tahun, kemenangan figura berusia 43 tahun itu sudah dijangka ramai atas kecemerlangannya memberikan ulasan dalan rancangan Aduan Jiwa: Hati Tertinggal di Syria.

Manis sekali kemenangan kali ini apabila ia jatuh pada hari ulang tahun isteri tercinta, Nurul Anati Ismail.

“Kebetulan’ yang indah. Kemenangan dan anugerah tepat pada hari lahirmu.

“Selamat ulang tahun bidadari. Moga solehah selalu dan dirahmati.

“Jika ada doaku yang tertolak, moga ALLAH memintas suratan takdir dengan tulus doamu yang dilimpahi kasih sejati. ALLAH Maha Baik. Semuanya akan indah. Amin,” titipnya

Malah, sebelum pulang, anak kelahiran Pantai Remis, Perak itu turut menyambut kemenangan bersama insan-insan yang disayangi termasuk isteri dan empat cahaya matanya.

“Selagi belum menutup usia, raikan semua yang membawa bahagia di jiwa,” katanya.

Fedtri telah berkahwin dengan Nurul Anati Ismail pada 28 Mei 2011.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat anak, iaitu Indah Sutera Jannah, Ahmad Willdan Arjuna, Indah Rauvda Inaara dan Ahmad Firaas Mevlana.

Kadang-kala terfikir juga bagaimana seorang pengulas dapat membuat analisis dan jangkaan dalam masa yang singkat dalam setiap rancangan.

Rupanya pengulas yang baik akan menjiwai sesuatu tempat atau acara baharulah ulasan lebih tepat dan mesej sampai kepada audiens.

Fedtri menggenggam kemas pesanan rakan, penyampai berita, pengacara dan penerbit RTM yang pernah memenangi Pengulas Terbaik ASA 2016.

“Di mana pun kamu berada, carilah JIWA di tempat itu”.

“Bersama himpunan pemenang, bekas pemenang edisi lalu, penyiar, sahabat seperjuangan. Setiap individu yang kita temui ada ilmu yang dapat dibawa pulang.

“Pesan sahabat baik saya, Shahril Sarapudin, bukan hanya membuat ulasan sukan dan pertabalan tetapi apa jua program yang memerlukan kemahiran menganalisis acara dalam emosi dan ilmu mendalam.

“Itu saya ambil sebagai asas untuk membawa isu kemanusiaan sebagai agenda kali ini,” katanya.

Penulis lirik Basyirah dan Mikraj Cinta nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza itu terdahulu telah dicalonkan bagi kategori Bicarawara TV Terbaik melalui Aduan Jiwa (Gelap Duniaku),

Montaj TV Terbaik Aduan Jiwa, dua pencalonan melalui Pengacara TV iaitu Jejak Rasul 2023 dan Aduan Jiwa dan Pengulas TV Terbaik Aduan Jiwa: Hati Tertinggal di Syria.

Pemenang Anugerah Ikon Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2021 itu juga pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa pada tahun 2022 bagi kategori Pengacara TV.

Sumber:HM