“Saya baru nak melawat tapi tidak kesampaian”DJ Dave terkilan tak sempat beri sumbangan kepada Jaafar Onn.

Hasrat penyanyi Datuk DJ Dave mahu memberikan sumbangan kepada Jaafar Onn tidak kesampaian apabila artis veteran berkenaan mninggal dunia pada pagi Rabu.

DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah, 76, berkata Allahyarham Jaafar sepatutnya menerima sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) namun tidak kesampaian kerana telah pergi terlebih dahulu menghadap Ilahi.

Kata DJ Dave, dia baharu sahaja mendapat perkhabaran mengenai kesusahan yang dialami pelakon tersebut dan berniat untuk memasukkan nama arwah dalam senarai bantuan.

“Baru-baru ini saya ke luar negara, saya dapat berita Jaafar memang memerlukan bantuan. Saya sudah menghubungi wakil pihak YKAT untuk meletakkan nama Jaafar dalam senarai bantuan.

DJ Dave menyifatkan pemergian Jaafar sebagai satu kehilangan besar buat industri seni.

“Dua hari lepas saya baru pulang ke Malaysia dan ingin melawat Jaafar namun saya mendapat tahu dia sedang dirawat di hospital.

“Saya baru nak pergi melawat dia di hospital tetapi tidak kesampaian apabila dapat perkhabaran dia sudah meninggal dunia,” katanya kepada mStar.

DJ Dave berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan raya Program Santuni Insan Seni yang diadakan di Glenmarie, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Dalam pada itu, DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar bagi industri seni kerana bakat serba boleh yang dimilikinya termasuk menyanyi dan berlakon.

“Pemergian Jaafar ini memang menyedihkan kerana saya dan dia pernah beraksi di satu pentas yang sama pada era 80-an dulu.

“Dia pandai menyanyi, berlakon, Jaafar seorang artis serba boleh. Jadi pemergiannya satu kehilangan besar untuk industri hiburan negara,” ujarnya.

Pada Selasa lalu, Jaafar ditahan di zon kritikal wad kecemasan Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor selepas membuang air besar berdarah pada malam sebelumnya.

Jaafar menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung ketika menjalani prosedur endoskopi kira-kira pukul 11.30 pagi Rabu.

Dalam perkembangan lain, DJ Dave turut mewakili YKAT untuk menyerahkan sumbangan kepada 12 artis tanahair termasuk Uda Basri, Aisah @ Aishah Ibrabim, Rusnani Abd Hamid, Mazita Azizi, Khairol Idlann dan Azhar Hassan.

Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada penyanyi dangdut Sheeda, Man Kidal, Kanagarajan, Muniandy, Kenji Sawahi dan Woo Wai Peng.

Setiap mereka menerima sumbangan YKAT berjumlah RM1,000.

Menurut DJ Dave, pihak YKAT mengalu-alukan sokongan dan sumbangan daripada semua pihak agar usaha mereka menjaga kebajikan artis tanahair dapat diteruskan.

“Kami turut berharap untuk terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak baik dari segi tajaan dana mahupun apa juga sokongan agar kami boleh terus menjaga kebajikan artis-artis tempatan,” katanya.

Sumber:hm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *