Demi Menunaikan Hajat Ibu , Anak Menggigil Tahan Sebak Masa Baca Talkin. Kini Cuma Lelap Sejam Sehari ,Tabah Puasa Sendirian

Bacaan talkin seorang anak lelaki setelah ibu kandungnya selamat dikebumikan mengundang sebak orang ramai.

“Saya berada di tingkat paling rendah dalam hidup apabila harus mengucap selamat tinggal kepada syurga saya,” demikian kapsyen pada video tular.

pemuda berkenaan, Raja Mohd Taufiq Raja yang mesra disapa Taufiq menceritakan semula kisah di sebalik video tersebut.

Menurut pemuda berusia 30 tahun ini, bacaan talkin itu dibuat atas permintaan ibunya, Allahyarhamah Sarifah Saibani lima tahun lalu sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir pada 2 Februari lalu.

“Video tersebut dirakam oleh kawan saya yang datang masa pengebumian ibu. Saya yang bacakan talkin.

“Ini kali pertama saya baca talkin sepanjang hidup. Saya bukanlah pelajar pondok atau tahfiz. Jadi saya tunjuk dulu pada imam teks saya buat tu sebelum minta izin nak bacakan talkin.

“Sebenarnya saya buat ni atas permintaan ibu masa hidup. Masa saya berbual berdua dengan ibu, dia ada pesan nak tengok anak-anak uruskan jenazah dan bacakan talkin untuk dia,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai videonya yang meraih 1 juta tontonan di TikTok, Taufiq mengakui terketar-ketar menahan sebak ketika menyebut nama ibunya.

Menurut anak bongsu daripada tiga adik beradik ini, dia pada mulanya sukar untuk percaya bahawa ibunya sudah lagi tiada di sisi buat selama-lamanya.

“Masa ibu meninggal di hadapan saya dan kakak, saya macam tak boleh terima lagi. Saya mula sedar yang dia memang dah tak ada masa jadi imam solat jnazah.

“Saya tengok dia (jenazah ibu) dekat depan dalam keranda… barulah saya mula rasa ‘lost’. Tak dapat nak gambarkan macam mana.

“Sampailah masa sebut nama ibu waktu baca talkin tu saya menangis… sebab baru sedar hakikat yang ibu sudah tiada. Saya terketar fikirkan yang lepas ni dah tak boleh jumpa dia,” katanya yang turut mempunyai seorang abang yang sudah berkahwin.

Jelas Taufiq, ibunya meninggal dunia pada usia 60 tahun dan dikebumikan di kampungnya di Sabak Bernam, Selangor.

Kata Taufiq, ibunya mengalami penyakit angin ahmar sejak dua tahun lalu selepas bapanya meninggal pada Jun 2022.

“Selepas ayah meninggal, ibu kena serangan strok separuh badan. Jadi saya dan kakak jaga ibu di rumah saya dekat Ampang.

“Tapi keadaan dia semakin pulih lepas tu. Cuma sejak Disember tahun lepas tiba-tiba ibu sakit semula sebab kolestrol dia ‘spike’ sampai ke otak.

“Ibu menerima rawatan di Hspital Kuala Lumpur sebelum meninggal dunia. Masa tu ibu bedridden jadi saya kena jaga ibu sepenuhnya. Saya hampir berhenti kerja masa tu,” ujarnya.

Imbasnya yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat di Ampang, terlalu banyak kenangan bersama ibu sukar untuk dilupakan.

Maka, tidak hairanlah sekiranya Taufiq merasakan pemergian ibunya ini sebagai satu kehilangan besar malah menjadi titik terendah dalam hidupnya.

“Selepas ibu pencen sebagai kerani, dia duduk dengan saya jadi memang banyak luangkan masa dengan dia. Kalau boleh undurkan masa, saya nak sangat nikmati saat-saat bersama ibu.

Pertama kali berpuasa dan bakal beraya tanpa ibu.
“Dulu sebelum pergi kerja memang saya bawa ibu pergi sarapan dulu. Biasanya kami kongsi makan satu pinggan yang sama.

“Untuk bulan puasa dan hari raya tahun ini, saya rasa lain sangat. Pertama kali berpuasa dan bakal beraya tanpa ibu,” ujarnya mengenang nasib.

Ujar Taufiq, video tersebut dimuat naik bertujuan dijadikan sebagai kenangan abadi bersama ibunya.

Dalam pada itu, dia berharap agar orang ramai lebih menghargai ibu dan bapa mereka sekiranya masih hidup di dunia ini.

Dalam kenangan… Taufiq sempat membahagiakan ibu sewaktu hayatnya masih ada.

“Masa ibu ada… saya masih boleh pegang dan tengok dia depan mata lagi. Tapi sekarang semua tu sudah tiada.

“Sejak ibu tiada, saya hanya mampu terlelap (tidur) satu jam saja setiap hari. Jadi memang ambil masa untuk saya biasakan dengan keadaan ni.

“Kepada mereka yang masih ada mak ayah, berbaktilah pada mereka. Bila mereka pergi, nak bagi duit ke apa dah tak boleh. Saya post video tu dengan harapan semoga orang ramai boleh sedekahkan al-Fatihah buat ibu,” katanya menutupi kisah.

Sumber:HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *