‘Cinta’ Syura dan peminat istimewa bertaut selepas 23 tahun, siap bawa gambar lama

PENYANYI Syura Badron akhirnya dapat bertemu kembali dengan seorang peminat setianya dikenali sebagai Zaki Jinggo yang mendakwa pernah bercinta dengannya sebelum ini.

Syura atau Zuraidah Badron, 37, meluahkan rasa gembira dan teruja dapat berkongsi semula kisah lama di antara mereka pada pertemuan itu.

“Selepas 23 tahun akhirnya kami berjumpa semula. Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan. Mestilah saya gembira dan teruja dapat berjumpa dengan peminat seperti Zaki.

Zaki pernah tular sebelum ini kerana mengaku kekasih lama Syura.

“Dia seorang insan istimewa, jadi saya layan dia sebaiknya. Kebetulan saya terlibat dengan sebuah acara di Kuantan, jadi saya cuba mencarinya untuk kami luangkan masa bersama,” katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Syura dan Zaki bertemu ketika penyanyi itu terlibat dalam sebuah festival di Kuatan, Pahang.

Berkongsi lanjut, Syura memberitahu meskipun Zaki merupakan Orang Kurang Upaya (0KU) namun dia masih mengingati peristiwa dia pernah memegang bahu lelaki itu ketika membuat persembahan sekitar tahun 2000.

“Saya tak sangka dia boleh cerita semula apa yang berlaku sebelum ini. Ketika itu saya sentuh bahunya dan secara berseloroh meluahkan rasa suka kepadanya tapi dia tolak ‘cinta’ saya.

“Dia juga masih simpan gambar-gambar lama saya dan tunjukkannya semasa pertemuan kami Sabtu lalu.

“Saya cuba manfaatkan masa kami bersama sebaik mungkin kerana dia adalah seorang peminat setia saya,” ujarnya.

Sebelum ini nama Zaki tular di media sosial apabila dia membuat pendedahan pernah menolak cinta Syura.

Memberi respon kepada video tersebut, Syura telah menjelaskan dia tidak mengenali Zaki secara dekat dan tidak menolak mereka sekadar bertemu dalam mana-mana acara persembahan.

Ketika berjumpa Zaki pada Sabtu lalu, penyanyi lagu Nazam Berkasih ini turut menghadiahkan sepasang baju sebagai kenangan buat Zaki.

Syura terharu ada peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya.

“Dia tahu saya sudah berkahwin dan tidak akan ganggu hubungan saya. Suami juga sangat memberi sokongan untuk kami berjumpa.

“Sebagai kenangan buat Zaki, saya hadiakan dia sepasang baju dan topi,” kongsinya.

Sumbar; Mstar