Cahaya Mata Dengan Shuib Nanti Dahulu , Fokus Watie Mahu Besarkan Empat Anak Tiri.

Isteri kepada pelawak dan penyampai radio Suria FM belum merancang atau berbincang untuk menimang cahaya mata sendiri bersama suami.

Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah, 35, berkata, ketika ini fokusnya adalah menjaga dan membesarkan empat anak tirinya yang memerlukan perhatian seorang ibu.

“Buat masa sekarang fokus saya menjaga anak-anak yang ada dulu. Untuk memiliki anak sendiri itu, (mungkin) kedepan-kedepan nanti.

“Tapi kalau tanya kesediaan untuk ada anak itu, (hanya) anak sekarang ini la. Kami tidak pernah bincang.

Watie mengutamakan untuk menjaga anak-anak yang ada.

“Mereka (anak-anak Shuib) selalu minta. Tapi mereka ini bila saya jaga Ayash mereka cemburu, kata saya lebihkan Ayash. Macam mana kalau saya ada anak sendiri nanti,” katanya kepada mStar.

Watie berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media program realiti masakan Dapur Tempur Selebriti yang diadakan pada Rabu lalu.

Sementara itu, Shuib juga sependapat dengan Watie iaitu mahu memberikan fokus sepenuhnya untuk membesarkan anak-anak dengan baik.

Tambah Shuib, ketika ini dia memang tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperoleh zuriat bersama Watie.

“Setakat ini memang tiada perancangan. Kita nak fokus yang ada empat orang ini sebab yang sulung Uwais sudah berumur 12 tahun. Ini kena beri fokus yang lebih kerana 12 tahun ke hadapan ini adalah peringkat yang agak kritikal,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shuib menyatakan kesediaan dan tidak sabar untuk beraksi bersama Watie dalam program Dapur Tempur yang bakal ditayangkan di TV9 bermula 18 November depan.

Kesediaan saya buat masa sekarang menjaga anak-anak yang ada dulu.

Jelasnya, dia amat gemar untuk menyertai program-program yang melibatkan dirinya dan juga pasangan.

“Saya suka program ini. Saya memang minat program yang berkaitan dengan pasangan. Samalah dulu kalau saya bersama arwah, banyak program saya sertai dengan dia,” ujarnya.

Sumber:Hm