Bapa sp0rting, bangun masak Aglio Olio untuk jamuan raya jam 4 pagi.Tak kisah anak makan jajan di sekolah sekali sekala
Jamuan akhir tahun atau sempena Aidilfitri merupakan saat-saat paling ditunggu oleh murid-murid sekolah.
Bagi golongan ibu bapa pula, pasti mereka sibuk menyiapkan aneka juadah dan hidangan untuk dibawa anak-anak ke sekolah bagi memeriahkan majlis jamuan.
Namun di sebalik keterujaan murid-murid, ada golongan ibu bapa yang kurang senang apabila makanan ringan atau jajan dihidangkan kepada anak mereka.
Menyedari perkara ini, seorang bapa, Syahr Musafir memilih untuk memasak sendiri makanan untuk majlis jamuan raya di sekolah dua anaknya yang masing-masing berusia tujuh dan 10 tahun.
“Kalau kita beli atau tempah je lebih senang, tetapi kenapa papa nak masakkan, sebab nak jimat ke? Tanya angah (anak darjah lima) kepada saya setelah diberitahu perancangan masak pasta Aglio Olio bagi majlis jamuan raya di sekolah.
“Bukan jimat… tetapi rasa lebih puas hati kalau dapat masak sendiri,” Syahr menjawab soalan anaknya.
Ketika Syahr menyiapkan makanan, isterinya pula mengambil tugas menggosok baju raya kedua-dua anak mereka untuk dipakai ke sekolah.
Menurut Syahr, dia teruja apabila jamuan itu diadakan kerana berpeluang menyumbang makanan sebagai salah satu cara dia bersedekah dan berkongsi rezeki dengan guru serta rakan kepada anak-anaknya.
Syahr sanggup bangun seawal pukul 4 pagi untuk memasak empat kilogram (kg) pasta menggunakan bahan-bahan seperti 2kg udang, 500 gram daging kisar dan beberapa jenis cendawan.
Dalam hantarannya, lelaki ini turut menyentuh isu makanan tidak sihat yang dihidangkan ketika jamuan sekolah diadakan.
“Selalu ada isu apabila musim jamuan di sekolah, ibu bapa mengadu perihal jajan atau makanan segera yang dihidangkan di sekolah. Betullah jajan tu tak elok.
“Tetapi anak-anak saya sangat seronok dan looking forward (tidak sabar-sabar) untuk jamuan raya di sekolah, hari ni la boleh makan jajan atau makanan segera. Ambil peluang untuk makan.
“Saya pun tak kisah ibu bapa atau guru-guru nak bagi jajan kepada anak-anak saya. Bukan selalu kan… setahun berapa kali je. Raikan saja kepelbagaian dan kebersamaan. Semuanya pun rezeki yang halal,” ujarnya menutupi kisah.
Sumber:mstar