“Baliklah Nak, Ayah Tunggu..”, Ayah Kekal Setia Tunggu Jasad Anak Lemas Setiap Hari Sejak 2 Bulan Lalu

 

Baliklah nak, ayah tunggu, ayah  kekal setia tunggu jasad anak lemas setiap hari sejak 2 bulan lalu. Kasih seorang ibu membawa ke syurga. Kasih seorang ayah sepanjang masa.

Jika orang lain merasakan tempoh dua bulan itu lama tapi bagi se0rang ayah ianya amat sekejap. Apa tah lagi, orang yang ditunggu-tunggu itu anak darah dagingnya sendiri yang masih belum ditemui semenjak lemas pada 3 Mac lalu.

Baliklah Nak, Ayah Tunggu…

Kasih sayang yang ditunjukkanya bukan kepalang. Kalau tidak menunggu di jeti tempat anaknya, Nur Hafizah jatuh, si ayah akan menyusuri bot mencari jasad anaknya itu.

Kasih seorang ayah, tak pernah jemu menanti jasad anaknya akan timbul. Sejak dua bulan lalu, setiap hari dirinya menunggu. Sama ada di atas jambatan atau mencari menggunakan bot.

Memetik laporan Utusan Malaysia,  kakak kepada arwah Nur Hafizah mengakui ayah mereka masih mengharap adiknya itu yang mesra disapa kak Ngah dapat ditemui walau apa sekali pun keadaan jasadnya.

“Kami sekeluarga terutama ayah, masih berharap pada bulan Syawal ini Kak Ngah pulang. Tidak kira dalam kea­daan macam mana sekali pun, asalkan dia pulang”.

Demikian jelas Nur Wahida Zailan, 25, kakak kepada Nur Hafizah, 23, atau mesra dipanggil ‘Kak Ngah’ yang hilang selepas terjatuh dari jambatan gantung di Kampung Aur, Muadzam Shah di sini pada 3 Mac lalu.

Gambar-gambar yang menjadi kenangan hingga kini buat keluarga ini

Ayah Kekal Setia Tunggu Jasad Anak Lemas Setiap Hari Sejak 2 Bulan Lalu

Nur Wahida berkata, jika adiknya itu meninggal dunia, sekurang-kurangnya ada kubur untuk diziarahi mereka sekeluarga.

“Sambutan Aidilfitri kali ini, kami sambut dalam keadaan suram dan ala kadar, sebelum ini, Kak Ngah paling teruja jika nak sambut hari raya kerana dia semangat untuk kemas rumah dan pasang pelita.

“Tahun ini pun, Kak Ngah juga sudah bercadang nak pakai baju raya sedondon warna biru dan membuat kuih gunting

“Namun begitu, kami sekeluarga tidak melakukan apa-apa persiapan kali ini tambahan pula rumah baharu sahaja pulih daripada ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui.

Setakat ini operasi pencarian Nur Hafizah sudah dihentikan pada 4 April lalu, namun keluarga mangsa masih tidak berputus asa mencarinya.

Nur Wahida berkata, hampir setiap hari bapanya akan turun ke sungai menaiki bot untuk mencari Nur Hafizah sama ada di sebelah pagi mahupun petang.

“Orang kampung juga membantu meneruskan usaha mencari Kak Ngah. Sambil mereka memancing ikan di sungai, sambil mereka mencari Kak Ngah, setiap hari.

“Kak Ngah seorang ustazah, mengajar mengaji di kampung ini dan disebabkan itu Kak Ngah sangat dikenali orang kampung. Mereka semua juga berharap Kak Ngah segera ditemukan,” katanya.

 Nur Hafizah tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum kehilangannya pada 3 Mac lalu, apabila jambatan gantung yang dilaluinya terlingkup akibat dipukul arus deras.

Menurut Nur Wahida, se­minggu sebelum kejadian, adiknya ada menghantar pesa­nan ringkas melalui aplikasi WhatsApp tertulis ‘saya sayang awak’.

“Sebagai adik-beradik yang sangat rapat, saya sangkakan dia bergurau kerana dia suka mengusik dan ceria dalam keluarga kami. Saya pun anggap biasa dengan mesej tersebut dan tidak menyangka itu mesej yang penuh makna,” katanya.

Nur Hafizah adalah pelatih Program Pembangunan Tamadun Orang Asli (Petama) anjuran Yayasan Pahang pada 2021 dan kemudiannya dilantik sebagai Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (Pepima) bagi kampung Orang Asli Gadak di Bukit Ibam, tahun lalu.

Sumbar; Mingguan Wanita

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *