“Bagusnya Kembang” Sanggup Jalan Kaki Ke Masjid Cari Ketenangan ,Pernah Menangis Dihalau Solat Kerana Imej Punk.
Gaya hidup seseorang boleh dipengaruhi dengan pelbagai faktor.
Gara-gara berimej ‘ganas’, seorang lelaki menjadi tular di media sosial menerusi satu rakaman dia sedang berjalan seorang diri.
Pemuda berkenaan dilihat memakai jaket hitam selain menyelitkan helaian bandana berwarna-warni di pinggang, selain berimej unik dengan solekan tebal serta rambut perang.
Di ruangan komen, rata-rata warga maya menggelarkan jejaka itu sebagai Kembang.
“Orang panggil dia Kembang, walaupun nampak metal tapi berbudi bahasa dan mudah didekati apabila orang bertegur sapa.
“Kembang ni mesra orangnya, solat tak pernah tinggal dan selalu nampak dia ada di masjid setiap waktu,” kata sebahagian warga maya.
Menariknya mStar berjaya menjejaki Kembang atau nama sebenarnya Muhammad Izzat Hazim yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Bercerita lanjut ketika dihubungi, Kembang yang berusia 28 tahun mengatakan dia ingin mencari ketenangan jiwa apabila dilihat sering berjalan kaki tanpa hala tuju di sekitar Alor Setar.
“Saya panggil ini jalan ketuhanan, ia bermula enam bulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. Saya ketika itu dapat ilham dari Tuhan yang beritahu kalau nak tenang, saya kena jalan kaki ke masjid.
Walaupun pakaian saya macam ni, tapi saya tak ada niat nak buat onar.
“Dengan jalan kaki sampai ke masjid ni, saya akan rasa puas, tak sama naik motosikal atau kereta. Ilham ini saya pegang rapi, sebab tu dalam diri ni sentiasa timbul gesaan untuk berjalan kaki dari rumah di Tongkang Yard ke masjid.
“Untuk setiap solat fardu lima waktu, saya akan berjalan kaki ke beberapa masjid. Contohnya solat Subuh di Masjid Zahir, solat Zohor dan Asar di Masjid Albukhary manakala Maghrib dan Isyak di Masjid Sultanah Bahiyah.
“Kesemua masjid ni berada di sekitar bandaraya Alor Setar. Saya hanya akan pergi ke masjid saja, bukan surau. Apabila saya mula buat begini terasa bahagia tu, tapi waktu PKP berhenti sekejap, kemudian sambung semula,” kata Kembang.
Semakan mStar, berjalan kaki dari Tongkang Yard ke masjid sekitar bandar Alor Setar jaraknya lebih kurang tiga kilometer yang mengambil masa kurang 40 minit.
Kembang merupakan anak jati Alor Setar, Kedah.
Dalam pada itu menurut Kembang, nama jolokannya diberikan oleh orang ramai berdasarkan rambutnya yang dilihat agak ‘merimbun’.
Tambah Kembang lagi, penampilannya yang mencuri tumpuan itu merupakan gaya hidup daripada masyarakat Barat dikenali sebagai punk atau emo.
“Saya memang suka punk dan emo ni sejak antara tahun 2018 dan 2019, sebelum saya dapat ilham lagi. Saya tak dapat nak terangkan kenapa tapi ia kena dengan jiwa saya.
“Saya tengok mereka (punk) dan saya ambil inspirasi dari mereka. Walaupun saya begini tapi saya tetap ke jalan Allah. Punk dan emo di Barat mungkin ada berjudi, minum arak dan berzina tapi saya tolak semua tu.
“Di penghujung hari saya tahu Tuhan tengok hati kita, bukan luaran kita. Walaupun saya memilih cara hidup begini tapi saya tetap jaga hubungan dengan Tuhan,” kata Kembang.
Kembang pada ketika ini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berhasrat untuk mengusahakan gerai makan keluarga apabila tiba masanya.
“Saya kerja biasa-biasa je, banyak kerja dengan orang seperti di kedai perfume dan jaga kaunter pasaraya. Dalam masa terdekat, saya akan ambil alih kedai makan keluarga di depan rumah.
Kembang berpegang teguh pada prinsipnya untuk sentiasa berjalan kaki ke masjid.
“Sekarang adik saya yang jaga kedai makan sementara dia tunggu nak masuk belajar, nanti dia dah pergi ke Kuala Lumpur saya akan sambung usahakan perniagaan,” ujar Kembang.
Bercerita mengenai penerimaan keluarga dan masyarakat terhadap penghijrahannya, Kembang mengakui pada awalnya sedikit sukar.
“Saya kena tekankan yang pemakaian ‘jahat’ saya ni adalah sebahagian daripada identiti saya, memang saya tak akan ubah dah. Jadi mak ayah apabila mula nampak saya macam ni, mereka agak terkesima la.
“Awal dulu kami ada juga bertengkar, mereka fikir saya ni seperti sesat tapi lama-kelamaan mereka mula memahami. Masyarakat pun ada juga yang gerun dengan saya.
“Pernah sekali jemaah masjid halau saya ketika solat Maghrib. Mereka kata saya pakai gaya macam ni tak boleh sembahyang sekali dekat dalam, mereka minta saya solat seorang diri dekat luar.
“Mungkin dari pakaian saya ni mereka ingat saya nak buat benda tak elok. Saya pun keluar dan terus menangis, berlinangan juga air mata ni. Apabila mereka dah selesai solat berjemaah, saya masuk balik masjid,” kata Kembang.
Kembang mengatakan itu adalah insiden yang tidak akan dilupakannya, namun bersyukur kerana masyarakat kini mampu menerima dan menghormatinya.
“Sekali tu je yang berlaku macam tu, sekarang dah okay dah, saya boleh solat di masjid tanpa diganggu. Walaupun pakaian saya macam ni, tapi saya tak ada niat nak buat onar,” kata Kembang menutup bicara.
Merujuk kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jika perbuatan tersebut tidak menimbulkan kesusahan dan kesukaran baginya seperti keadaan rumah yang berdekatan dengan masjid, cuaca tidak terlalu panas atau sejuk, maka lebih afdal untuk seseorang itu berjalan kaki ke masjid.
Rasulullah SAW menyebut bahawa apabila seseorang itu melangkah satu langkahan ke masjid untuk mendirikan solat, maka diangkat satu darjat dan dihapuskan daripadanya satu dosa.
Baginda SAW bersabda (maksudnya): “Solat seseorang daripada kalangan kamu bersama dengan jemaah melebihi solatnya di tempat kerja atau rumahnya sebanyak 20 lebih kali ganda.
Ini kerana ia memperelokkan wuduknya, kemudian dia pergi ke masjid hanya ingin mendirikan solat semata-mata.
“Tidak dia melangkah satu langkah kecuali akan diangkat dengannya satu darjat dan dihapuskan dengannya satu dosa kesalahan. Malaikat sentiasa mendoakannya selagimana dia berada di masjid yang dia mendirikan solat tersebut.”
Sumber:HM