Anak balik rumah terus hulur geran… Abah kelu, hanya mampu tersengih-sengih dapat motor edisi terhad Yamaha LC 135 V8 5MR0

MENGALIR air mata jantan aku.

Demikian antara komen netizen pada video tular memaparkan se0rang peniaga dikenali sebagai Afiq Raffali, 30, yang menghadiahkan sebuah motosikal baharu buat bapanya.

Dalam video itu, Abdul Latif Baijan, 60, kelihatan terkejut sebelum mengukir senyuman menerima hadiah berkenaan sambil disaksikan isterinya, Engku Intan Rohaya Engku Rani, 59, di kediaman mereka di Kampung Melayu Majidee, Johor.

Bapa Afiq kelihatan terkejut ketika menerima hadiah berkenaan.

Menurut Afiq yang mengusahakan perniagaan pakaian di kawasan Stulang, Johor Bahru, hasrat mahu menghadiahkan motosikal berkenaan sudah dirancang lebih awal namun ia terbantut kerana kekangan kewangan.

Namun dia bersyukur ia akhirnya berjaya direalisasikan pada Ahad malam baru-baru ini.

“Saya dah lama merancang tapi baru sekarang ada rezeki untuk bagi motor. Sebab utamanya, bisnes pakaian yang saya baru buat ni berjaya. Saya yakin kejayaan ini hasil doa mak ayah dan isteri saya.

“Selepas bisnes dah berjaya, saya belanjakan duit beli telefon baharu untuk isteri dan motor baharu untuk ayah. Motor Yamaha LC 135 V8 5MR0 itu berharga RM9,000. Saya buat kejutan pada Ahad malam,” ujarnya kepada mStar.

Sebagai anak, Afiq yang mempunyai lebih 90,000 pengikut TikTok berkata dia lega dapat menggembirakan bapanya meskipun tiada nilai yang dapat dibayar untuk membalas jasa kedua orang tuanya.

“Ayah sebenarnya terkejut dan dia tak jangka saya nak belikan motor. Sekarang dia dah berumur, dia minat ronda bawa motor. Sebelum ni dia ada cerita nak tukar motor baru. Jadi saya hadiahkan sebelum dia beli.

“Saya rasa gembira dan lega dapat gembirakan mak ayah walaupun hadiah tu tak seberapa untuk balas budi mereka membesarkan saya sejak kecil sehingga menjadi orang yang berguna,” ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, Afiq berkata bapanya pernah berdepan kejatuhan dalam perniagaan, membuatkan dia beremosi apabila mengenang perjalanan hidup mereka sekeluarga.

“Saya anak kedua dan dalam adik beradik hanya saya yang tinggal dengan mak ayah semasa kecil. Jadi saya nampak dengan mata saya sendiri zaman naik turun mak ayah saya.

“Sejujurnya sekarang mak ayah saya bukan orang senang macam sebelum ni sebab kejatuhan bisnes. Jadi ini masa yang tepat saya nak bagi mereka hadiah untuk menaikkan semangat mereka dan tunjuk saya ada dengan mereka dalam susah dan senang.

Afiq menjalankan bisnes pakaian selepas sembilan tahun bekerja di Singapura.

“Ayah saya dulu ada pasaraya, sebab apa drop saya tak boleh cakap. Dia dah jual bisnes tu. Yang paling sedih saya sebagai anak tak dapat tolong masa bisnes tu drop,” ceritanya lagi.

Mengenai dirinya, Afiq berkata dia sebelum ini bekerja sebagai pengurus sebuah restoran makanan segera di Singapura dengan gaji sekitar RM10,000 sebulan.

Selepas sembilan tahun bekerja di negara orang, Afiq memilih untuk berhenti kerja dan meneruskan perniagaan pakaian yang dikatakan lebih menguntungkan.

Untuk rekod, Afiq juga pernah mendapat liputan mStar pada tahun lalu apabila dia berkongsi video tentang majlis perpisahan rakan sekerjanya yang berusia 87 tahun.

Sumbar; Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *