Adakah orang yang baru memeluk Islam layak menerima zakat?
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya,
dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan kewangan) dalam perjalanan.
(Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah S.W.T. Dan (ingatlah) Allah S.W.T. Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksanaan.” al-Taubah 60.
Surah al-Taubah atau al-Bara’ah ayat 60 ini didapati tidak mempunyai sebab-sebab yang membawa kepada penurunan ayat ini. Namun yang demikian ulama-ulama tafsir terutamanya banyak mentafsirkan ayat 60 dari Surah al-Taubah ini.
Muhammad Ali al-Sabuni dalam Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir , telah mentafsir ayat ini bahawa setelah Allah menerangkan bagaimana sikap golongan munafiqin yang menuduh Rasulullah s.a.w tidak berlaku adil dalam tanggungjawabnya membahagi-bahagikan sedekah (zakat).
Allah memberi penjelasan dalam ayat ini bahawa Dialah yang mengatur pembahagiannya (bukannya Rasulullah s.a.w.), dalam menetapkan hukumannya dan golongan-golongan yang sepatutnya mendapat bahagian daripada pembahagian zakat tersebut.
Tafsiran ayat 60 surah al-Taubah bersependapat dengan Sayyid Qutb yang menyatakan dalam bukunya In The Shade Of The Qur’an
Para ulama telah berselisihan pendapat berkaitan apakah zakat itu wajib kepada kelapan-lapan golongan ini atau hanya diberikan kepada sebahagian mereka sahaja.
Pendapat pertama adalah daripada Imam al-Shafie dan beberapa orang jemaah. Manakala pendapat kedua daripada Imam Malik dan beberapa jemaah seperti Umar, Huzayfah, Ibn Abbas, Abu Aliyyah, Sa’id ibn al-Jubayr dan Maymun ibn Muhram.
Mereka berpendapat bahawa disebutnya lapan golongan ini adalah untuk menentukan siapa yang berhak dan layak menerima zakat, tetapi ianya tidak bermaksud semua lapan golongan itu harus mendapat peruntukan zakat tersebut.
Al-Sabuni mentafsirkan mengenai golongan mualaf adalah terdiri daripada mereka yang diberikan zakat agar memeluk Islam. Rasulullah s.a.w.
telah melakukan sedemikian terhadap Safwan ibn Umayyah yang menerima bahagian dari harta ghanimah dari “Perang Hunayn”. Padahal dia adalah di pihak musyirikin.
Safwan ibn Umayyah berkata,
“Ketika Baginda s.a.w. memberikan aku bahagian harta ghanimah dalam Perang Hunain, Baginda adalah orang yang paling aku benci. Namun, Baginda memberiku harta ghanimah hingga Baginda menjadi orang yang paling aku cintai.”
Malahan sebahagian mualaf yang diberikan pembahagian harta ghanimah oleh Rasulullah s.a.w. bertujuan untuk menambahkan keimanan mereka dan meneguhkan kepercayaan di dalam hati mereka.
Perbuatan Rasulullah s.a.w. sebagaimana dilakukan terhadap pemuka-pemuka Quraish yang mendapat pengampunan semasa penaklukan Mekah yang mana masing-masing mendapat seratus ekor unta.
Ada juga mualaf yang diberikan bahagian dari zakat dengan berobjektifkan untuk menarik hati kenalannya dan kaum kerabatnya, suku kaumnya untuk memeluk Islam.
Selain daripada itu, pemberian zakat adalah dengan maksud agar pemungut zakat dapat membantu memungut zakat daripada jiran-jiran dan orang kampungnya.
Persoalan yang sering timbul, apakah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. masih terdapat golongan mualaf untuk mendapat bahagian dari zakat?
Menurut Muhammad Ali al-Sabuni menjelaskan berdasarkan pendapat Umar, Amir, al-Sha’bi dan beberapa jemaah bahawa kerana Allah telah memberikan kemenangan kepada Islam dan umat Nya,
dan Islam pula telah tersebar dengan meluas serta menguasai seluruh dunia, maka tidak sepatut wujudnya lagi golongan mualaf yang dipujuk hati mereka untuk memeluk Islam dengan pemberian zakat.
Namun yang demikian, terdapat sahabat dan ulama yang berpendirian, bahawa Rasulullah s.a.w. masih tetap memberikan zakat kepada golongan mualaf itu,
sekalipun selepas penguasaan dan penaklukan Mekah dan menghancurkan suku Hawazin sehingga dengan yang demikian, golongan tersebut tetap diperakui adanya dan perlu mendapat pembahagian zakat.
Jelaslah dalam ayat 60, surah al-Taubah ini memberi kepastian bahawa terdapat lapan asnaf yang berhak untuk mendapat zakat. Selain daripada golongan fakir, golongan miskin, amil-amil yang mengurus zakat,
golongan yang memerdekakan hamba, golongan yang berhutang, golongan fisabilillah, orang-orang yang bermusafir dan terputusnya bekalan yang berhak ke atas peruntukan zakat, golongan mualaf atau saudara baru juga mempunyai bahagiannya dalam pemberian zakat.
Walaupun selepas kewafatan Baginda s.a.w. pemberian zakat perlu diteruskan sehingga saudara baru diyakini mendapat pengetahuan ilmu Islam yang mampu memandu kehidupan mereka.
Maka dari situ akan menambahkan keimanan mereka, mengukuhkan pegangan agama Islam dalam diri mereka, memantapkan dan menguatkan keyakinan mereka akan keesaan Allah dan kewajipan beriman dan berukun dengan rukun Islam yang lima.
Akhirnya saudara baru mampu untuk mengharungi kehidupan seperti Muslim yang lain dengan penuh dedikasi, berdikari, bersikap keterbukaan, mempraktikkan ajaran Islam itu sendiri dan beriltizam tinggi dalam pembangunan ummah dan perjuangan Islam.
Pemberian zakat adalah sebagai satu motivasi, dorongan, galakan kepada saudara baru untuk terus mencari hakikat Islam itu sendiri dan mempraktikkan ajaran Islam dalam segenap kehidupan mereka. Wallahu a’lam
Sumbar; UtusanTV