Anak sulung sudah umur 21 tahun, Abby Abadi pesan Danish jaga status seorang hafiz al-Quran

Bersempena hari jadi ke-21 anak sulungnya, Abby Abadi berpesan agar Mohamed Danish Hakim menjaga kelakuan sesuai dengan status seorang Hafiz al-Quran.

Abby atau Arbaiyah Abdul Manan, 47, juga berharap Danish tidak lalai dengan perkara berkaitan dunia dan mengamalkan apa dipelajari dalam kehidupan seharian.

“Jaga diri, jaga solat, jaga ikhtilat, jaga hak Allah dan jaga kalam Allah yang tersemat dalam jiwa abang (panggilan Danish) itu sebaik-baiknya.

“Bukan sekadar hafal tapi rutinkan. Jangan leka, mama dah abah pesan dunia ini hanya tempat bermain yang sia-sia,” katanya.

Pelakon drama Gerak Khas itu berkongsi pesanan itu menerusi Instagram miliknya selain berkongsi video sambutan hari jadi Danish.

Dalam pada itu, Abby memberitahu dia bekerja keras semata-mata untuk menggembirakan anak-anaknya dan menyediakan keperluan mereka dengan sokongan suaminya iaitu Faizal Zakaria.

“Hanya doa dan usaha yang mama mampu lakukan untuk beri kebahagiaan kepada anak-anak mama.

“Dengan bantuan abah, mama dapat berikan keselesaan hidup dan cukup makan, minum, serta pakaian untuk anak-anak mama,” ujarnya.

Sementara itu, Abby turut berkongsi, meskipun dia tidak pernah bercakap tentang kesukaran dan penderitaannya kepada anak-anak namun dia berharap mereka sentiasa mendoakannya.

“Walaupun mama tak pernah tunjuk susah, sedih, derita, kecewa dan segalanya, tapi jauh disudut hati mama harap anak-anak tak lupa doakan mama dan abah,” katanya.

Untuk rekod, Abby pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Norman Hakim, 48, pada 2002 namun pasangan itu bercerai pada 2009.

Selain Danish, mereka turut dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Marissa Dania dan Maria Danisha.

Sumber:Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *